KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada limau mandarin di negara ini yang dikesan mengandungi sulfur dioksida.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengesahan itu berdasarkan pemantauan yang dilakukan pihaknya sepanjang 2015 hingga tahun lepas.
Bagaimanapun, KKM akan meneruskan pemantauan ke atas limau mandarin yang dijual di pasaran bagi memastikan ianya selamat dimakan.
Menurut Noor Hisham Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 membenarkan penggunaan sulfur dioksida sebagai bahan pengawet dalam makanan tertentu termasuk buah-buahan segar seperti limau mandarin namun pada kadar tidak melebihi 30mg/kg.
"Sulfur dioksida telah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan pada kadar tertentu oleh badan penilai antarabangsa Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additive (JECFA).
"Sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kadar yang dibenarkan tetapi ia boleh menyebabkan lelah terhadap orang yang sensitif apabila terhidu atau tertelan," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Jelas beliau di bawah subperaturan 20(6) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, setiap bungkusan makanan untuk jualan termasuk limau mandarin yang ditambah sulfur dioksida lebih daripada 10mg/kg, mesti dilabel dengan pernyataan "mengandungi sulfur dioksida".
Sesiapa yang gagal mematuhi peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM 5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.
Di bawah subperaturan 11(1) (j), Peraturan-Peraturan Makanan 1985, bagi makanan import termasuk limau mandarin, nama serta alamat pembungkus dan pengimport, termasuk nama negara dari mana makanan itu berasal hendaklah dinyatakan pada label.
Dalam hal ini, sesiapa yang membuat pelabelan palsu boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau denda atau kedua-duanya seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 16, Akta Makanan 1983.- BERNAMA
Limau Mandarin Tidak Mengandungi Sulfur Dioksida - KKM
Reviewed by Unknown
on
January 18, 2017
Rating:
No comments: