Seorang pekerja kilang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, hari ini atas tuduhan membuat laporan polis palsu di Balai Polis Bandar Tenggara, kelmarin.
Tertuduh, Nur Amirah Kamisan, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Penolong Pendaftar Khairul Azhar Mohamad.
Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita berkenaan didakwa membuat laporan bertulis kepada anggota polis yang mana dia tahu ia adalah palsu dan dengan maksud hendak menyebabkan polis akan membuat siasatan berkaitan hal yang dimaklumkan.
Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Bandar Tenggara, Kota Tinggi, pada 4.30 petang, 1 Julai lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Azlin Zeti Zainal Abidin menawarkan jaminan RM3,000 terhadap tertuduh, bagaimanapun mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 9 Julai ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, wanita itu diarahkan hadir ke mahkamah hari ini selepas siasatan polis terhadap laporan yang dibuat wanita terbabit mengenai dakwaan menjadi mangsa kejadian samun berkumpulan bersenjatakan pisau itu disyaki palsu.
Beliau berkata, wanita terbabit mendakwa disamun oleh dua lelaki Indonesia ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dan mendapat kecederaan selain hilang wang tunai RM10,500 yang didakwanya untuk perbelanjaan perkahwinannya yang dijadualkan pada Sabtu ini.
Bagaimanapun, katanya, siasatan polis mendapati pengadu membuat laporan palsu dan wang tunai berkenaan sebenarnya hilang ketika dalam simpanannya beberapa hari sebelum sambutan hari raya.
"Wanita itu membuat laporan palsu kerana takut dimarahi keluarganya selepas wang itu hilang di saat hari perkahwinannya semakin hampir," katanya.
Pada masa sama, Ahsmon memberi amaran keras supaya masyarakat tidak membuat laporan polis palsu kerana ia adalah satu perlakuan jenayah.
"Perbuatan ini menyusahkan polis serta membazir duit rakyat akibat polis terpaksa menyiasat kes yang tidak berlaku.
"Kita akan mengambil tindakan terhadap individu seumpama ini," katanya.-myMetro
Balasan Buat Laporan Palsu Disamun Kumpulan Bersenjata
Reviewed by Unknown
on
July 03, 2017
Rating:

No comments: