Seo Services

Henti Sensasikan Kenyataan James Masing


KUCHING: Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Snowdan Lawan mengingatkan pemimpin pembangkang dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk berhenti mensensasikan kenyataan yang dibuat Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.

Beliau yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan berkata, kritikan tidak membina untuk meraih kepentingan politik atau publisiti murahan daripada episod tersebut tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Timbalan Ketua Menteri (Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing) tidak menyatakan 'Tiada Empangan, Tiada Jalan'. Jalan di luar bandar sebenarnya dibina tetapi projek seperti Projek Hidro Elektrik (HEP) akan memacu pembinaan jalan ini.

"Peruntukan bajet untuk membina jalan ini di kawasan ini terhad menyebabkan kelambatan pembinaan jalan di luar bandar," katanya menerusi kenyataan akhbar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin itu berkata, kawasan besar seperti Baram mempunyai potensi untuk pembangunan HEP yang mana pembinaan empangan akan mengubah ekonomi luar bandar.

"Saya menggesa pembangkang untuk mengeluarkan idea membina untuk cadangan projek yang boleh meningkatkan sosio ekonomi kawasan luar bandar kerana projek dengan kos tinggi yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk luar bandar tetapi rakyat Sarawak secara keseluruhannya," ujarnya.

Mengambil Baleh sebagai contoh, Snowdan berkata, HEP Baleh akan menghubungkan jalan dari pekan Kapit ke empangan.

"Komuniti setempat di kawasan ini boleh menggunakan jalan ini pada masa depan dan akan membantu mempercepatkan lebih banyak rangkaian jalan.

"Bukan sahaja itu, HEP Baleh akan menyediakan elektrik dan air terawat kepada komuniti setempat dan menyediakan peluang kepada penduduk tempatan di kawasan ini terlibat secara aktif dalam aktiviti sosio ekonomi," jelasnya.

Beliau menambah, kerajaan sedang meningkatkan pendekatan lebih bersepadu dan mapan berdasarkan pengalaman lepas untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat.-Sarawakiana
Henti Sensasikan Kenyataan James Masing Henti Sensasikan Kenyataan James Masing Reviewed by Unknown on July 03, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.