Seo Services

2 beradik harapan negara


KUALA LUMPUR: Dua atlet lawan pedang negara, Natasha Ezzra Abu Bakar dan adiknya, Nur Afrina Abu Bakar mahu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 untuk membantu kontinjen negara meningkatkan pungutan pingat.

Bagi Natasha Ezzra, 26, Sukan SEA ke-29 adalah peluang untuknya memenangi pingat emas dalam acara foil setelah terkandas pada peringkat suku akhir pada Sukan SEA Singapura 2015 apabila tewas tipis kepada atlet tuan rumah, Wenying Wang dengan mata 14-15.

"Fizikal dan mental saya berada pada tahap 100 peratus dan saya percaya saya berada dalam prestasi terbaik untuk memburu emas sulung di Sukan SEA. Saya​​​​ mahu​​ fokus dan menampilkan aksi terbaik di hadapan rakyat Malaysia," katanya kepada Bernama hari ini.

Pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA 2011 di Indonesia itu menganggap pesaing dari Vietnam dan Singapura sebagai pencabar utama dalam temasya kali ini namun atlet kelahiran Johor itu yakin beliau mempunyai peluang yang baik untuk mencapai sasarannya.

Mengenai pembabitannya dalam lawan pedang, penuntut bidang pendidikan di Universiti Putra Malaysia itu berkata, minatnya tercetus setelah bapa saudaranya yang merupakan tenaga pengajar sukan itu di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Bandar Penawar, Johor memperkenalkan sukan itu kepadanya dan abangnya ketika beliau berusia 14 tahun.

"Selain saya dan Nur Afrina, tiga adik-beradik saya yang lain turut menceburi sukan lawan pedang," kata anak kedua daripada enam beradik itu.

Sementara itu, Nur Afrina, 16, yang pertama kali menyertai Sukan SEA dalam acara sabre pula mahu membuktikan beliau mampu menandingi lawannya walaupun turun beraksi pada usia muda.

Mula bermain sukan lawan pedang seawal usia 13 tahun, pelajar SSTMI itu mengakui berasa gementar namun menganggapnya perkara biasa kerana apa yang penting baginya adalah menjelmakan aksi terbaik nanti.

"Saya mahu mengutip pengalaman secukupnya bertanding pada temasya ini," katanya.

Nur Afrina berkata, kejayaan dicapai kakaknya, Nur Natasha telah mendorong beliau untuk berkecimpung dalam sukan itu dan berazam mahu menjadi atlet lawan pedang yang berjaya satu hari nanti.

Jurulatih lawan pedang negara, Rao Bin berkata, beliau kagum dengan kesungguhan dipamerkan kedua-dua beradik itu dalam misi mencipta kejayaan pada temasya yang terbesar di rantau Asia Tenggara itu.

"Natasha yang merupakan prospek utama emas negara berpeluang cerah untuk menang dalam acara foil manakala Nur Afrina pula dilihat berpotensi besar untuk menyinar dalam sukan lawan pedang pada masa depan," katanya yang meletakkan sasaran satu pingat emas bagi kem lawan pedang negara.

Sukan lawan pedang yang bakal berlangsung pada 21 hingga 23 Ogos di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini menawarkan enam pingat emas.

Pembukaan rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur dijadual berlangsung pada 19 Ogos dan penutupnya pada 30 Ogos. - BERNAMA
2 beradik harapan negara 2 beradik harapan negara Reviewed by Azmin on August 15, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.