Seo Services

Penjaga Zoo Dipenjara 10 Tahun Sokong Pengganas



KUALA LUMPUR: Seorang penjaga zoo dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dan memiliki item berkaitan pengganas, tahun lepas.

Mohd Shahrullizam Ramli, bapa kepada seorang anak, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak.

Bagi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas, Mohd Shahrullizam, 31, dihukum penjara 10 tahun, manakala untuk pertuduhan memiliki item berkaitan pengganas, dia dipenjara tiga tahun dan mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 19 Julai 2016.

Dalam keputusannya, hakim itu berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh merupakan satu ancaman kepada negara dan tertuduh sepatutnya sedar bahawa ketika memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas perbuatan itu sangat menakutkan.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh melalui aplikasi Telegram dengan menggunakan nama 'Sharul', di alamat 177-B5 Batu 11, Gombak di sini, antara 25 Mac hingga 29 Jun 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan bolehlah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk melakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua di tempat sama pada 19 Julai 2016, tertuduh didakwa memiliki item berunsur keganasan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas termasuk pelekat kereta berlogo Daesh, bendera dan lilitan kepala.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item terbabit.

Terdahulu peguam N. Sivanesan yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap kerana anak guamnya telah menyesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

"Tertuduh tiada rekod kesalahan lampau, tertuduh sudah berada dalam tahanan reman sejak setahun lalu dan sepanjang dia berada dalam tahanan, keluarganya mengalami banyak kesulitan hidup," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum supaya dapat menilai keseriusan kesalahan itu.-- Bernama

Penjaga Zoo Dipenjara 10 Tahun Sokong Pengganas Penjaga Zoo Dipenjara 10 Tahun Sokong Pengganas Reviewed by uMieySurianie on August 15, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.