PUTRAJAYA: Cuaca yang tidak menentu bukan halangan bagi skuad negara acara ski air dan wakeboard, kata ketua jurulatih Hanifah Yoong.
Semasa sesi latihan akhir di venue acara itu hari ini, Hanifah berkata isu yang menjadi kebimbangannya sekarang ialah jika atlet menghadapi kecederaan semasa temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
"Acara ski air terdedah kerana ia diadakan di luar, jadi cuaca sering tidak menentu. Kebimbangan saya sekarang, jika atlet mengalami kecederaan semasa latihan atau sebarang kejadian tidak diingini menjelang perlawanan.
"Daripada aspek fizikal, atlet dalam keadaan yang baik," katanya kepada Bernama.
Jurulatih berkenaan adalah bapa kepada tiga atlet dalam acara itu, Aaliyah, 14; Aiden, 11; dan Adam, 9;
Katanya, pasukan itu telah berlatih dengan giat beberapa bulan lalu dan ketika hanya tinggal beberapa hari saja lagi sebelum tirai KL2017 dibuka, mereka kini memperlahankan latihan, melakukan latihan ringan dan lebih menumpukan aspek mental dan visualisasi.
"Paling penting sekarang aspek mental dan memandangkan kita selaku tuan rumah, tekanan untuk melakukan yang terbaik adalah lebih besar," katanya.
Skuad ski air negara akan menampilkan atlet termuda dalam kontinjen Malaysia, menyasarkan untuk menyumbang empat pingat emas.
Bagaimanapun, impian Hanifah tidak berhenti di situ kerana mahukan pasukannya melakukan lebih daripada itu.
"Kami tidak mahu mereka hanya menetapkan matlamat untuk Sukan SEA, tetapi tiga tahun lagi, kami menyasarkan Malaysia menjadi kuasa dunia dalam acara ski air.
Aaliyah yang memenangi emas acara tricks dan individu keseluruhan dan perak acara jump pada temasya di Singapura dua tahun lalu, kini adalah atlet bertaraf dunia dan antara prospek utama menyumbangkan pingat emas KL2017.
Acara ski air dan wakeboard KL2017 berlangsung pada 25 hingga 29 Ogos di Kompleks Sukan Air Putrajaya. - Bernama
Cuaca Bukan Halangan - Hanifah
Reviewed by Azmin
on
August 15, 2017
Rating:
No comments: