Lelaki gelandangan yang sebelum ini dijulang sebagai hero penyelamat mangsa bom Manchester pada Mei lalu ditangkap kerana dituduh mencuri kad kredit mangsa.
Chris Parker, 33, membantu remaja perempuan yang hilang kedua-dua kakinya dan mengusung seorang wanita yang cedera parah selepas Salman Abedi meletupkan bom paku membunuh 22 orang.
Berikutan tindakan itu, sebanyak lebih £50,000 (RM276,340) berjaya dikutip hasil sumbangan orang ramai untuk Parker.
Bagaimanapun nasib hero itu kini berubah setelah dia didakwa mencuri daripada Pauline Healey yang ketika itu terbaring kecederaan selepas letupan terbabit.
Healey, yang terselamat dan koma beberapa hari, kehilangan cucu perempuan, Sorrell Leczkowski berusia 14 tahun manakala anaknya Samantha, cedera parah.
Parker direman untuk didakwa di Mahkamah Majistret Manchester dan Salford esok.
Menurut polis, tuduhan berkenaan adalah berkaitan kes kecurian kad kredit bank yang dicuri pada petang 22 Mei lalu di Arena Manchester.
Lelaki gelandangan itu berada di serambi bangunan berkenaan untuk meminta sedekah sebaik sahaja konsert selesai sebelum letupan meletus.
Dia terhantuk ke lantai akibat letupan itu namun bangkit segera untuk membantu mangsa-mangsa lain.
Tindakannya itu mendapat perhatian media dan tersebar ke seluruh dunia.
Dua minggu selepas serangan itu, dia merendah diri dengan menafikan dirinya seorang penyelamat sebaliknya hanyalah lelaki biasa.
“Saya berlari masuk ke Arena kerana mendengar kanak-kanak menjerit, saya tiada pilihan,” katanya
Merujuk kepada tragedi yang dia sepatutnya adalah mangsa, Parker menceritakan suasana ketika ternampak wanita berusia dalam 60-an bersama keluarga.
“Saya menangis tak berhenti, yang paling terkejut ialah konsert adalah konsert kanak-kanak,” katanya.
Seramai 3,799 orang berjaya mengumpulkan sebanyak £52,589 (RM290,649) untuk lelaki berkenaan semasa kempen dikendalikan GoFundMe oleh Michael Johns, tetapi dia belum menerima wang itu.
Johns bagaimanapun berkata, berikutan dakwaan di mahkamah itu maka wang yang disumbangkan oleh ramai terbabit akan digunakan untuk aktiviti GoFundMe.-Agensi
Hero Penyelamat Mangsa Bom Dituduh Curi Kad Kredit
Reviewed by Unknown
on
August 16, 2017
Rating:
No comments: