Seo Services

MARDI Bantu Usahawan Muda Jana Pendapatan Sampingan



Kuching : Sekumpulan 11 anak muda dari pekan Lundu, kira-kira 100 kilometer dari sini, bertekad mendapatkan bimbingan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menceburi bidang penternakan lebah kelulut bagi mencari pendapatan sampingan.

Semasa dalam tempoh percubaan kira-kira tiga tahun lepas, mereka menggunakan modal sendiri secara kecil-kecilan sebelum mengorak langkah untuk menapak lebih jauh selepas melihat potensi perusahannya cukup memberangsangkan.

Mereka kemudian membuat pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) di bawah Program Agropreneur Muda Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dan ia mengubah segalanya.

Mohamad Nirman Sepini, 20-an, seorang daripada kumpulan 'anak didik' MARDI itu berkata di peringkat permulaan, mereka menempatkan 10 log koloni kelulut di sekitar kediaman masing-masing di Kampung Belungei di Lundu yang terletak berhampiran kawasan hutan.

"MARDI membimbing kami semua cara serta kaedah yang betul penternakan lebah kelulut ini. Antara yang diajar ialah mencari lokasi yang tepat untuk meletakkan kotak koloni bagi memastikan kehadiran lebah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

"Bermula dengan 10 log yang dibeli pada harga sekitar RM140 ke RM150 setiap satu, kami tambah sedikit demi sedikit sehingga kami memiliki lebih 30 log koloni pada masa ini. Selepas tiga tahun menceburi bidang perternakan lebah kelulut ini, kami boleh menuai hasil madu kelulut sekitar 10 kilogram sebulan tiap seorang,"tambahnya.

Mohamad Nirman berkata madu kelulut boleh dijual pada sekitar harga RM90 hingga RM120 sekilogram bergantung kepada pembelian yang dibuat sama ada runcit atau borong.

Menurutnya selepas melihat potensi madu kelulut yang begitu luas dan besar itu, tercetus keinginan beliau bersama 10 lagi rakannya untuk menambah baik produk keluaran mereka.

"Setiap seorang daripada kami kemudiannya menghasilkan kertas kerja menerangkan secara terperinci rancangan perniagaan seperti rancangan pemasaran dan pembungkusan yang lebih baik serta menarik, sebelum memohon geran In Kind Contribution (IKC) Unit Agropreneur Muda Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Alhamdullillah permohonan kami berjaya, saya terima RM5,000; ada juga yang dapat RM15,000, secara keseluruhan kumpulan kami dapat hampir RM80,000 untuk tambah baik produk dan seterusnya memasarkan produk yang dihasilkan secara lebih menarik dan teratur," katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penyelidik MARDI Sarawak Long Sidi berkata pihaknya sentiasa menggalakkan Agropreneur Muda Sarawak menceburi bidang penternakan lebah kelulut berikutan harga pasaran yang tinggi serta potensi negeri ini masih belum diteroka sepenuhnya.

Beliau berkata sejak 2012, MARDI Sarawak giat membantu ramai yang berminat untuk menceburi bidang penternakan lebah kelulut ini menerusi pelbagai bengkel serta taklimat yang diadakan di seluruh negeri.

"Kita beri tunjuk ajar kepada mereka seperti bagaimana untuk memastikan log yang dibeli sihat serta memiliki koloni lebah kelulut yang kuat.

Pada setiap sesi taklimat yang dijalankan MARDI, kita akan ajar bagaimana untuk mengelak kesalahan yang sering berlaku sebagai contoh ketika proses pemindahan koloni dari log ke dalam kotak koloni, 'ratu lebah kelulut' masih tertinggal di dalam log menyebabkan lebah kelulut hilang begitu sahaja.

"Kita juga akan beri tunjuk ajar bagaimana untuk membelah log, mengambil 'telur' di dalam log seterusnya membuat susunan yang betul di dalam kotak koloni itu nanti," katanya.

-- BERNAMA
MARDI Bantu Usahawan Muda Jana Pendapatan Sampingan MARDI Bantu Usahawan Muda Jana Pendapatan Sampingan Reviewed by Unknown on August 15, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.