TEXAS – Sebatang pen dilengkapi dengan teknologi tinggi mampu mengenal pasti penyakit kanser dalam tempoh 10 saat yang dicipta oleh sekumpulan saintis di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
BBC melaporkan, kumpulan saintis dari Universiti Texas itu berjaya mencipta pen dikenali sebagai MasSpec Pen dan mempunyai ketepatan sehingga 96 peratus.
Menurut seorang profesor dari Universiti Texas, Livia Eberlin, pen itu dipasang dalam spektrometer massa yang merupakan sekeping kit untuk mengukur jisim bahan kimia setiap saat.
Jelasnya, seseorang boleh menentukan sama ada pesakit itu memiliki tisu sihat atau mempunyai simptom kanser hanya dengan meletakkan cap jari pada kit itu.
“Kami sungguh teruja dengan teknologi ini, berguna dan sangat membantu. Dengan sekelip mata kita dapat keputusan jika seseorang itu mempunyai kanser.
“Seperti kita semua maklum, kanser sangat sukar untuk dikenal pasti terutamanya pada peringkat awal. Namun MasSpec Pen ini mampu mengenal pasti tisu sihat atau sebaliknya,” katanya.
Menurut beliau, alat berteknologi tinggi itu mudah diguna, mana-mana doktor pakar boleh memiliki pen ini bagi membantu pesakit mereka dalam masa singkat.
Teknologi tersebut telah diuji pada 253 sampel sebagai sebahagian daripada kajian.
Ketika ini, perancangan para saintis adalah untuk meneruskan kajian sebelum dikeluarkan dalam pasaran. - Utusan Online
Pen Kenal Pasti Kanser Dalam 10 Saat
Reviewed by uMieySurianie
on
September 08, 2017
Rating:

No comments: