Seo Services

Henti Pendakian Gunung Kinabalu


Aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu dihentikan sementara susulan cuaca buruk yang melanda beberapa daerah di Sabah, sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais menerusi akaun Twitternya berkata, aktiviti pendakian ke puncak gunung itu hanya akan dibenarkan apabila keadaan cuaca kembali pulih.

"Berdasarkan cuaca buruk, Taman-Taman Sabah memutuskan untuk mengentikan aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu buat sementara waktu," katanya.

Dalam pada itu, Jamili ketika dihubungi menjelaskan hanya pendakian ke puncak dihentikan, bagaimanapun pendakian ke Panalaban pada ketinggian 3,272 meter masih dibenarkan.

Panalaban adalah lokasi persinggahan di mana pendaki berehat sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu dan mempunyai kemudahan penginapan Laban Rata Rest House.

Mengulas lanjut, Jamili berkata, keputusan itu berdasarkan pemantauan kepada cuaca harian sejak beberapa hari lalu dan maklumat daripada malim gunung.

"Aktiviti ini sudah dihentikan sejak seminggu lalu kerana angin kencang, hujan lebat dan jarak penglihatan yang terhad," katanya.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan atau kemalangan akibat keadaan cuaca buruk di Gunung Kinabalu.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pendaki yang sudah membuat tempahan awal tidak layak mendapat pulangan wang kerana mereka masih dibenarkan mendaki sehingga ke Panalaban.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata, hujan lebat dan angin kencang di beberapa daerah di Sabah akan berlanjutan sehingga esok.

Ia meliputi daerah pedalaman, (Kuala Penyu, Beaufort, Sipitang, Tenom, Keningau dan Tambunan), pantai barat Sabah dan Kudat.-myMetro
Henti Pendakian Gunung Kinabalu Henti Pendakian Gunung Kinabalu Reviewed by Unknown on October 20, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.