Seo Services

Alfa Romeo Kembali 'Bingit' Litar F1


PARIS: Alfa Romeo kembali ke kancah perlumbaan Formula Satu (F1) selepas 30 tahun 'menghilang' dengan mengadakan kerjasama bersama pasukan Sauber, tahun depan, umum jenama ikon mewah Itali itu, hari ini.

Pasukan yang akan menggunakan enjin Ferrari itu akan dikenali sebagai pasukan Alfa Romeo Sauber.

Pengerusi Ferrari, Sergio Marchionne yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengeluar kereta berpangkalan di Milan itu berkata dalam satu kenyataan yang Alfa: "Bertekad untuk mula menulis babak baru yang menarik dalam sejarahnya yang unik."

Pengerusi Sauber Holding AG, Pascal Picci menambah: "Kami amat gembira untuk mengalu-alukan kehadiran Alfa Romeo dalam pasukan Sauber F1.

"Alfa Romeo mempunyai sejarah kejayaan yang panjang dalam perlumbaan Grand Prix, dan kami amat gembira apabila syarikat antarabangsa terkenal ini memilih untuk bekerjasama dengan kami dalam kepulangan semula mereka ke arena permotoran paling elit di dunia."

Alfa Romeo menjuarai kejuaraan dunia F1 bersama Nino Farina pada 1950 dan diikuti kemenangan legenda Argentina, Juan Manuel Fangio menjuarai takhta sama pada 1951.

Mereka kemudian bertindak sebagai pembekal enjin kepada beberapa pasukan dari tahun 1961 hingga 1979 sebelum kembali berlumba sebagai pasukan pada 1979 hingga 1985 sebelum menarik diri daripada F1.

Sauber belum memuktamadkan barisan pelumba mereka pada musim depan dengan pelumba junior Ferrari, Charles Leclerc dan Antonio Giovinazzi dipercayai menjadi calon utama bagi menggantikan Marcus Ericsson dan Pascal Wehrlein. - AFP
Alfa Romeo Kembali 'Bingit' Litar F1 Alfa Romeo Kembali 'Bingit' Litar F1 Reviewed by Azmin on November 30, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.