Seo Services

Ekonomi Malaysia Dijangka Catat Pertumbuhan Kukuh Tahun Depan: Najib


KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh tahun depan serta dapat mengurangkan lagi defisit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata seperti yang dilaporkan oleh Bank Dunia, ekonomi Malaysia berkembang daripada kedudukan yang kukuh.

"Kita terus mengambil semua langkah yang perlu untuk membina negara dan meningkatkan keselamatan, kebajikan dan kebahagian rakyat Malaysia," katanya dalam Perutusan Tahun Baru 2018 yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Najib menyifatkan 2017 sebagai tahun yang membawa banyak kejayaan bagi Malaysia.

"Ekonomi kita mengatasi semua jangkaan, dengan Bank Dunia menyemak semula unjurannya bagi pertumbuhan kita tahun ini dengan menaikkannya bukan sekali, bukan dua kali, tetapi tiga kali - ke paras sangat kukuh pada 5.8 peratus," katanya.

Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan banyak lagi badan bebas terkemuka dunia, kata Najib, memuji pengurusan ekonomi berhemat Kerajaan, dan mengiktiraf daya tahan dan daya saing yang telah dibinanya adalah demi untuk kebaikan rakyat Malaysia.

"Sentimen ini juga ditunjukkan menerusi keyakinan yang dipamerkan oleh komuniti antarabangsa terhadap Malaysia sepanjang tahun," katanya.

Sebagai contoh, kata Najib, pada Februari tahun ini Saudi Aramco mengumumkan ia melabur sebanyak US$7 bilion dalam Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia Petronas di Johor - menjadikan ia pelaburan hiliran terbesar Aramco di luar Arab Saudi.

HSBC melabur lebih RM1 bilion untuk membina ibu pejabat serantau baharunya di Tun Razak Exchange.

"Dan banyak lagi syarikat multinasional yang mengikut jejak langkah, melabur dan membuka operasi mereka di Malaysia," katanya.

"Seperti yang dijelaskan oleh Jack Ma daripada Alibaba, beliau memilih Malaysia untuk melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama di luar China pada 2017 kerana persekitaran mesra perniagaan yang cekap yang diwujudkan oleh Kerajaan," kata Najib.

Pelaburan ini, bangunan baharu, perniagaan baharu dan projek prasarana baharu - daripada Lebuh Raya Pan Borneo hinggalah kepada pengangkutan awam yang hebat seperti Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) di Lembah Klang, kata Najib, akan membawa perubahan sebenar kepada rakyat Malaysia.

"Lebih 2,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana berpeluang untuk mendapat akses lebih mudah ke pasaran global, terutamanya ke pasaran China, menerusi DFTZ, sebagai contoh; dua fasa pertama Laluan Sungai Buloh-Kajang MRT telah mewujudkan 130,000 peluang pekerjaan di mana 70,000 adalah pekerjaan langsung," katanya.

Apa yang lebih baik lagi, kata Najib, ia siap lebih awal daripada jadual dan RM2 bilion kurang daripada bajet - yang menunjukkan Malaysia mempunyai keupayaan mengendalikan projek berskala besar pada masa depan, seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), yang akan dapat banyak membantu penduduk di Pahang, Terengganu dan Kelantan dan meningkatkan ekonomi tempatan mereka.

"Saya amat menyedari bahawa ada dalam kalangan kita masih berdepan dengan cabaran dan kesukaran, tetapi langkah-langkah telah diambil - dan akan terus diambil - bagi memastikan pertumbuhan negara kita terus kekal dan inklusif dan dapat meningkatkan semua segmen masyarakat," katanya.

"Kerana saya mahu semua berkongsi pembangunan ini, dan tidak ada rakyat Malaysia yang tertinggal," katanya.

"Itulah sebab mengapa saya mengumumkan potongan cukai bagi memberi manfaat kepada semua golongan pendapatan sederhana dalam bajet baru-baru ini, peruntukan bagi petani, nelayan, pekebun kecil dan penoreh getah, diskaun bagi pinjaman tertunggak pelajar, melonggarkan waktu bekerja wanita hamil dalam perkhidmatan awam dan pelbagai lagi langkah-langkah lain untuk membantu meringankan bebanan rakyat dan memudahkan mereka untuk menyertai sepenuhnya dalam masyarakat unik kita yang berbilang kaum," kata Najib.

Perdana Menteri berkata dalam demokrasi apa yang diambil kira adalah hasrat rakyat yang diluahkan menerusi peti undi, dan bukannya keinginan seseorang yang pentingkan diri sendiri.

"Ia bukan juga bagi ahli politik yang membantah demi kerana hanya untuk membantah - walaupun mereka secara dalam diam-diam bersetuju bahwa langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan adalah betul.

"Banyak yang kita telah lihat, sama ada bagi isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) - yang hampir semua ekonomi bereputasi di seluruh dunia memujinya, dan yang merupakan satu pembaharuan yang kebanyakan negara lain termasuk India dan Arab Saudi juga melaksanakannya," katanya.

Pada 2017, beliau berkata, Malaysia meraikan ulang tahun ke-60 sejak laungan 'Merdeka!' di Padang di Kuala Lumpur.

"Walaupun kita hidup di dunia yang sangat berbeza hari ini, dengan cabaran yang amat berbeza, saya percaya bapa kemerdekaan kita akan berbangga melihat apa yang telah dicapai oleh kita dalam dekad-dekad seterusnya," kata Najib.- BERNAMA
Ekonomi Malaysia Dijangka Catat Pertumbuhan Kukuh Tahun Depan: Najib Ekonomi Malaysia Dijangka Catat Pertumbuhan Kukuh Tahun Depan: Najib Reviewed by Unknown on December 31, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.