RIYADH – Arab Saudi yang juga antara negara pengeksport petroleum terbesar dunia hari ini, mengumumkan kenaikan harga runcit petrol tempatan antara 45 hingga 126 peratus.
Agensi berita kerajaan, SPA, melaporkan langkah itu bertujuan menjadikan penggunaan tenaga lebih efisien, sejajar pelan reformasi untuk rangsang sumber pendapatan negara tersebut daripada hanya bergantung kepada minyak.
Susulan pengumuman itu, minyak Ron 91 kini dijual pada harga 1.37 riyal (RM1.48) seliter, berbanding 0.75 riyal (RM0.81) sebelum ini manakala Ron 95 pada 2.04 riyal (RM2.21) seliter, daripada 0.90 riyal (RM0.98) sebelumnya.
Kerajaan negara terbesar rantau Asia Barat itu juga akan memperlahankan rancangan penghapusan subsidi terhadap pelbagai produk tenaga lain berdasarkan pelan fiskal jangka panjang baharu dalam bajet negara 2018.
Pada 20 Disember lalu, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud secara rasmi mengumumkan tarikh sasaran pemansuhan defisit bajet kerajaan dilanjutkan kembali sehingga tahun 2023, berbanding sasaran terdahulu iaitu pada 2020.
Ini bagi mengurangkan tekanan terhadap pertumbuhan ekonomi. Negara itu mengumumkan inisiatif reformasi meluas pada 2016 lalu, yang bertujuan meningkatkan tahap dan kualiti perkhidmatan yang disediakan kerajaan.
Ia disusun demi capai masa depan lebih kaya dengan pembangunan berdaya tahan termasuk kelonggaran dasar terhadap wanita yang dibenarkan memandu kereta dan pembukaan pawagam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Arab Saudi Naikkan Harga Petrol Hingga 126 Peratus
Reviewed by Unknown
on
January 01, 2018
Rating:
No comments: