Seo Services

Harga LNG kompetitif 2019


KUALA LUMPUR: Harga gas asli cecair (LNG) di pasaran tempatan dijangka menjadi lebih kompetitif menjelang 2019, dengan jangkaan penyertaan lebih ramai penggiat industri, susulan pengenalan mekanisme Akses Pihak Ketiga (TPA) tahun lalu, kata Persatuan Gas Malaysia (MGA).

Setiausaha Agungnya, Rosman Hamzah, berkata TPA yang diperkenalkan pada Januari 2017, bertujuan untuk membuka pasaran bekalan gas kepada pihak ketiga, termasuk syarikat asing untuk menjual gas kepada mana-mana pengguna di Malaysia, atas asas kedua-dua pembeli dan penjual saling bersetuju (willing buyer-willing seller).

"Dengan lebih ramai penggiat pasaran terbabit, mereka dapat meningkatkan daya saing dalam industri dan justeru itu, menjadikan harga LNG lebih rendah," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan meskipun jangkaan harga gas rendah, pergerakan harga LNG masih lagi terikat kepada pergerakan harga minyak mentah.

Ketika ini, LNG negara dibekalkan oleh PETRONAS Gas Bhd dan Gas Malaysia Bhd dan pihak yang berminat menyertai TPA boleh memohon lesen daripada Suruhanjaya Tenaga.

"Setakat ini, kami melihat beberapa syarikat multinasional, yang juga ahli MGA, memohon lesen daripada Suruhanajaya Tenaga" katanya.

Mengenai harga gas asli terkawal yang meningkat sebanyak RM1.50 untuk setiap juta unit termal British (mmBtu) setiap enam bulan, Rosman berkata, langkah itu bertujuan untuk menjadikan harga tempatan setara dengan paras harga LNG antarabangsa.

Pada masa yang sama, katanya, ia akan mengurangkan pergantungan kepada subsidi kerajaan.

"Ketika ini, harga LNG kita (RM28.05 untuk setiap mmBtu) masih belum mencapai paras harga pasaran antarabangsa (RM30 untuk setiap mmBtu), dan kita perlu membawakan tarif asas lagi dekat dengan harga pasaran.

"Tetapi, melihat kepada pergerakan semasa harga gas dan minyak mentah, kami menjangka menjelang 2019, harga gas akan mencecah paras harga pasaran, dan harapnya, kerajaan akan dapat mengumumkan bahawa kita juga akan mempunyai akses penuh (pada masa itu)," katanya.

Sementara itu, kerajaan masih menyediakan lebih kurang 30 peratus subsidi gas kepada sektor kuasa.

Suruhanjaya Tenaga mengumumkan pada Disember 2016 bahawa tarif asas untuk setiap mmBtu telah ditetapkan pada RM26.71 bagi tempoh antara Januari-Jun 2017; RM28.05 bagi Julai-Disember 2017; RM30.90 bagi Januari-Jun 2018; RM31.92 bagi Julai-Disember 2018; RM32.69 bagi Januari- Jun 2019; dan RM32.74 bagi Julai-Disember 2019.

Ditanya mengenai kesan ke atas pengeluar yang kelaknya akan memindahkan kenaikan kadar kepada pengguna, Rosman berkata, beliau tidak menjangkakan sebarang kesan ketara.

"Ini disebabkan LNG digunakan kebanyakannya oleh pengguna perindustrian seperti pengeluar sarung tangan, dengan kebanyakan produk mereka dieksport ke luar negara.

"Jadi, kesan langsung kepada pengguna tempatan tidak begitu besar," katanya.

Selain itu, katanya, hanya 12,000 isi rumah di Malaysia menggunakan LNG bagi tujuan memasak.

"Selebihnya menggunakan gas petroleum cecair (LPG), yang disubsidikan sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," katanya.

Ditanya sama ada negara akan berdepan masalah lebihan bekalan LNG pada masa depan, dengan bermulanya operasi komersial Terminal Pengegasan Semula Gas Petronas (RGT) 2 di Pengerang, Johor pada Januari 2018, Rosman tidak melihatnya menjadi satu isu bagi tempoh jangka panjang.

"Malahan, ia boleh menjana kadar penggunaan LNG lebih tinggi di negara ini, kerana kawasan tanpa paip LNG, seperti di Kelantan, kawasan yang berpotensi tinggi yang boleh dimanfaatkan.

"Sebagai contoh, mereka boleh memasang prasarana paip di kawasan yang kurang diberi perhatian dan menyertai dalam ekosistem pengedaran bagi meningkatkan penggunaan gas asli di sana," katanya.

Justeru, beliau percaya prospek pertumbuhan penggunaan LNG masih lagi besar di negara ini. - BERNAMA
Harga LNG kompetitif 2019 Harga LNG kompetitif 2019 Reviewed by Azmin on January 02, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.