PUTRAJAYA: Seorang lelaki disahkan dijangkiti penyakit Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) selepas pulang daripada mengerjakan umrah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki berusia 55 tahun dari Selangor itu mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki sejurus tiba di tanah air pada 23 Disember lalu.
Katanya, pesakit mendapatkan rawatan di klinik berhampiran rumahnya sehari selepas itu dan menerima rawatan sebagai kes demam sebelum hadir ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada malam 28 Disember dan ditahan di wad hospital itu untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.
“Mengambil kira sejarah perjalanannya yang baru kembali daripada menunaikan umrah, ujian saringan MERS-CoV dijalankan dan didapati positif, masing-masing bagi ujian saringan yang dijalankan Hospital Sungai Buloh pada 30 Disember serta ujian pengesahan seterusnya dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan pada 31 Disember,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pesakit dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini stabil.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan, termasuk pengesanan serta pemantauan ke atas kontak pesakit seperti ahli keluarga, jemaah umrah dalam kumpulan sama, anggota kesihatan di fasiliti merawat serta kontak rapat di dalam pesawat dinaiki pesakit.
Katanya, amalan pencegahan dan kawalan jangkitan dalam kalangan anggota kesihatan juga ditingkatkan di semua peringkat, di samping pemantauan terhadap status kesihatan anggota kesihatan terlibat dalam mengendalikan kes berkaitan.
Bagi mengelakkan kejadian jangkitan MERS-CoV, Dr Hisham menasihatkan orang awam yang mengerjakan umrah atau ingin melawat negara di rantau Timur Tengah supaya mengamalkan tahap kebersihan diri tinggi seperti kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan, terutamanya selepas batuk, bersin atau bersalaman.
Mereka juga dinasihatkan tidak mengunjungi kediaman atau institusi penjagaan kesihatan terlibat dalam kejadian jangkitan wabak MERS-CoV di negara tersebut; mengelak melawat ladang haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan, khususnya unta serta mengambil, iaitu memakan atau meminum sebarang produk mentah atau tidak dimasak dengan sempurna melibatkan unta.
“Mereka yang kembali daripada lawatan ke negara-negara yang terlibat, khususnya negara di rantau Timur Tengah diminta mendapatkan rawatan dengan kadar segera, sekiranya mengalami gejala demam dan jangkitan respiratori seperti batuk dan kesukaran bernafas, khususnya dalam tempoh 14 hari setelah tiba di tanah air,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan jangkitan MERS-CoV boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.my atau melalui Facebook CPRC Kebangsaan (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis). - Bernama/fmt
Jemaah umrah disahkan jangkiti MERS-CoV
Reviewed by Admin
on
January 02, 2018
Rating:
No comments: