PUTRAJAYA: Seabed Constructor, kapal canggih yang ditugaskan untuk menjalankan misi menjejaki pesawat Malaysia Airlines MH370, telah tiba di kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi.
Ketua Pengarah Penerbangan Awam merangkap Ketua Pasukan Bertindak MH370, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, berkata kapal itu telah memulakan operasi pencarian menggunakan Kenderaan Dalam Air Autonomi (AUV) pertama yang dilancarkan pada jam 12.55 pagi waktu tempatan (2.55 pagi waktu Malaysia) pada 22 Januari dan seterusnya menggunakan AUV berikutnya.
Kerajaan Malaysia menggunakan khidmat syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited, bagi misi pencarian MH370.
Ocean Infinity menyewa kapal penyelidikan Norway, Seabed Constructor bagi misi pencarian itu.
Penerbangan MH370 bersama 239 orang hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Kehilangan penerbangan MH370 disifatkan sebagai antara yang paling menimbulkan misteri dalam sejarah penerbangan di dunia.
"Operasi pencarian untuk menjejaki MH370 oleh Ocean Infinity adalah berdasarkan terma "no cure no fee" iaitu pembayaran hanya dibuat apabila serpihan pesawat ditemukan dalam tempoh masa 90 hari," kata Azharuddin dalam satu kenyataan hari ini.
Azharuddin berkata misi itu membabitkan sebanyak 65 kru atas kapal itu termasuk dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai wakil kerajaan Malaysia.
"Pasukan itu akan memaklumkan kepada keluarga mangsa MH370 mengenai perkembangan terkini melalui mesej teks dan e-mel serta maklumat terkini melalui laman web rasmi MH370 di http://mh370.gov.my/index.php/en/ apabila maklumat baharu diperoleh," kata beliau. - BERNAMA
MH370: Kapal Seabed Constructor Tiba Di Kawasan Pencarian
Reviewed by Azmin
on
January 24, 2018
Rating:

No comments: