MIRI, 26 Jan (Bernama) -- Seorang pelajar wanita berusia 22 tahun maut akibat kecederaan kepala dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya di Lambir, kira-kira 32km dari sini, semalam.
Ketua Polis Miri, ACP Lim Meng Seah berkata, kematian mangsa, Doris Daun Bila, pelajar sebuah kolej, berasal dari Long Moh, Baram, dimaklumkan kepada polis setelah menerima panggilan daripada Wad Kecemasan Hospital Miri pada pukul 4.30 pagi.
"Balai Polis Pusat Miri telah menerima panggilan bahawa dua lelaki telah menghantar seorang wanita yang tidak sedar diri serta mengalami kecederaan di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Lim berkata, doktor yang bertugas pada ketika itu, telah melakukan pemeriksaan serta mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan teman lelaki mangsa berusia 23 tahun yang turut sama menghantar mangsa ke hospital telah ditahan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek, seorang lelaki rakyat tempatan, telah bersama-sama dengan mangsa serta rakan lain minum arak di Sungai Setulai Baru, Lambir semalam.
Menurutnya, melihat keadaan suspek yang mabuk, mangsa mengajak suspek balik namun pada mula suspek enggan dan bergaduh di dalam kereta.
"Selepas bergaduh mangsa dan suspek meninggalkan tempat tersebut dengan kereta yang dipandu oleh suspek," katanya.
Beliau berkata, dalam perjalanan balik suspek serta mangsa berhenti di tepi jalan untuk membuang air kecil dan ketika itu mangsa dan suspek bergaduh lagi sehingga mangsa jatuh serta tidak sedarkan diri.
"Suspek membawa mangsa balik ke rumahnya dan meminta bantuan abangnya untuk menghantar mangsa ke Hospital Miri," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa masih berada di Hospital Miri untuk bedah siasat manakala suspek disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -- BERNAMA
Pelajar Kolej Dipercayai Dibunuh Teman Lelaki
Reviewed by Admin
on
January 26, 2018
Rating:
No comments: