KUCHING -- Semua projek-projek kecil Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan Parlimen Santubong yang dirancang sejak dua tahun kebelakangan ini berjaya disempunakan dengan cemerlang tanpa sebarang masalah.
Anggota Parlimennya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau amat berpuas hati dengan dedikasi yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai daripada jabatan berkenaan yang sentiasa bertungkus lumus berusaha dengan gigih untuk memenuhi semua keperluan penduduk di kawasan itu.
Beliau menganggarkan kedua-dua jabatan itu masing-masing membelanjakan sekitar RM80 juta bagi melaksanakan pelbagai projek kecil seperti menangani masalah saliran, membaiki jalan raya, membina jeti, masjid, surau dan sebagainya di kawasan itu dalam tempoh tersebut.
“Walaupun ia projek kecil, namun impaknya cukup besar, membantu penduduk menangani masalah berkaitan saliran, banjir kilat, dan menjamin keselamatan serta keselesaan pengangkutan.
“Ini belum mengambil projek-projek besar seperti projek membina Jambatan Rambungan yang bernilai lebih RM120 juta, serta lain-lain projek kerajaan persekutuan dan negeri yang besar. Boleh dikatakan 99 peratus projek-projek kecil ini berjaya disiapkan, yang selebihnya masih sedang dilaksanakan mengikut jadual,” tambahnya.
Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata demikian dalam sidang media selepas mendengar taklimat pegawai-pegawai JKR bahagian Kuching di pejabat jabatan itu di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun JKR bukan di bawah bidang kuasanya sebagai menteri, namun sebagai Anggota Parlimen beliau sentiasa berusaha mendekati penduduk setempat bagi mendengar dan berusaha menghulur bantuan kepada mana-mana jabatan yang memerlukan, demi kesejahteraan penduduk.
-- BERNAMA
Projek Kecil JKR, JPS Di Santubong Siap Tanpa Masalah
Reviewed by Unknown
on
January 26, 2018
Rating:
No comments: