Seo Services

Sarawak ingin jadi pengeluar tenaga kerja mahir



KUCHING: Sarawak meletak sasaran muncul sebagai pengeluar tenaga kerja mahir utama di negara ini bagi menarik lebih banyak pelaburan asing.

Ia bertujuan menjadi pengimbang kepada ketidakmampuan menawarkan tenaga kerja murah berikutan kekurangan penduduk.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata populasi kecil rakyat di negeri ini yang berjumlah 2.7 juta boleh diseimbangi dari sudut ekonomi dengan membangunkan sepenuhnya kekayaan hidro bagi penjanaan tenaga, khusus menarik pelaburan dalam sektor industri berasaskan tenaga.

"Sejak Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dilancarkan pada 2008, sebanyak 22 pelaburan diperoleh di SCORE membabitkan pelaburan bernilai RM33.64 bilion yang berupaya menyediakan 17,093 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

"Justeru, pembangunan tenaga modal insan berkualiti kritikal kepada perkembangan ekonomi Sarawak bagi menjamin negeri ini mempunyai kapasiti mencapai pendapatan tinggi bagi rakyatnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Minggu Tenaga Antarabangsa keempat 2018, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Antara syarikat besar yang sudah beroperasi di SCORE adalah OCIM Sdn Bhd, Press Metal Bintulu Sdn Bhd, OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd, Pertama Ferroalloys Sdn Bhd, Sakura Ferroalloys Sdn Bhd dan Elkem Carbon Malaysia Sdn Bhd.

Hadir sama, dua Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Sumber Mineral dan Tenaga Indonesia, Ignasius Jonan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Persidangan menarik penyertaan lebih 5,000 peserta membabitkan 15 negara termasuk India, Jerman, Itali, Singapura dan Amerika Syarikat.

Mengulas mengenai ekonomi digital, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi negeri berkata, kerajaan negeri hanya berperanan sebagai penyelaras.

"Persekitaran ekonomi digital yang pantas berubah menjadikan sektor swasta lebih utama memacu ekonomi digital manakala kerajaan menyediakan prasarana bersesuaian," katanya.-BHOnline
Sarawak ingin jadi pengeluar tenaga kerja mahir Sarawak ingin jadi pengeluar tenaga kerja mahir Reviewed by Unknown on January 23, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.