Penuntut sebuah institut pengajian tinggi (IPT) awam bersama rakan wanitanya ditahan selepas merempuh seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Taman Bandar Baru Barat, Kampar, hari ini.
Mereka berusia 19 dan 18 tahun ditahan ketika menaiki kereta Naza Suria pada 2.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika anggota berpangkat Lans Koperal, 29, membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan sebelum mendapati kereta dinaiki suspek berada dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, sebaik anggota berkenaan menghampiri kereta terbabit, suspek lelaki bertindak menghidupkan enjin sebelum mengundurkan kereta dan merempuh pembahagi jalan di hujung lorong.
"Suspek kemudian menekan pedal minyak menghala ke hadapan dan merempuh bahagian hadapan motosikal dinaiki anggota berkenaan hingga mengakibatkan mangsa terjatuh.
"Kereta dipandu suspek terus memecut laju menghala ke jalan besar sebelum menghilangkan diri," katanya ketika dihubungi.
Katanya, susulan kejadian itu, sepasukan anggota Balai Polis Kampar mengesan kereta dinaiki suspek berhenti di bahu jalan di kawasan Batu Karang kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.
"Polis menahan kedua-dua suspek dan hasil pemeriksaan tidak menemui apa-apa barang menyalahi undang-undang.
"Kedua-dua suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga Khamis ini bagi siasatan lanjut," katanya.
Katanya, anggota polis yang dirempuh bagaimanapun tidak cedera, dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.-myMetro
Kenapa Langgar Abang Polis?
Reviewed by Unknown
on
February 28, 2018
Rating:
No comments: