Seo Services

Polis Teliti CCTV Kesan Wanita Edar Kopi Campur Dadah

BALIK PULAU: Polis sedang meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti identiti wanita yang disyaki mengedarkan kopi pracampuran mengandungi dadah secara percuma sekitar Jelutong, Selasa lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, berkata pihaknya masih berusaha mengesan wanita berusia lingkungan 40-an terbabit bagi mengetahui bagaimana dia mendapat bekalan kopi itu.

"Siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan pengesahan sama ada kopi pracampuran itu benar-benar dibuang dalam tong sampah atau sebaliknya.

"Kerjasama dan bantuan orang ramai diperlukan dalam menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu siasatan lanjut," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Remaja Berwawasan 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bahang di sini, hari ini.

Sejak 27 Januari lalu, seramai tujuh mangsa dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas minum kopi pracampuran berkenaan yang menyebabkan mereka menjadi letih dan lemah.

Siasatan polis mendapati kopi yang diberikan percuma itu mempunyai kesan koyak di bawah sebelum dipaketkan semula dengan dicampur bahan asing.

Susulan itu, polis turut mengesan seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang mengedar dan memberikan kopi terbabit secara percuma kepada orang ramai.

Sementara itu, ujian air kencing dan darah ke atas dua lelaki Nepal yang mengalami gejala letih dan lemah selepas minum kopi pracampuran perisa durian didapati sah mengandungi dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, ujian dilakukan Jabatan Kimia itu diperoleh pihaknya petang semalam.

"Berdasarkan ujian dijalankan kita dapati memang sah terdapat dadah yang jenisnya memang ada di pasaran, namun jarang dikesan diambil penagih dadah.

"Setakat ini, siasatan awal mendapati dadah terbabit memang memberi kesan seperti dialami mereka yang minum kopi berkenaan dan kita juga masih menunggu laporan kimia mangsa lain," katanya.

Pihak polis turut mengesyaki terdapat unsur sabotaj apabila terdapat kesan gangguan pada pek kopi itu termasuk keadaan kopi yang mengeras kerana teroksida, pertambahan berat dan kesan pek yang digam semula. - BHOnline
Polis Teliti CCTV Kesan Wanita Edar Kopi Campur Dadah Polis Teliti CCTV Kesan Wanita Edar Kopi Campur Dadah Reviewed by Azmin on February 07, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.