LONDON: Danny Welbeck dituduh sengaja merebahkan badan untuk mendapatkan penalti yang membantu Arsenal menempah tiket ke suku akhir Liga Europa susulan kemenangan 3-1 ke atas AC Milan, awal pagi tadi.
Selepas meraih kemenangan 2-0 pada aksi pertama di Milan, minggu lalu, skuad kendalian Arsene Wenger berada di kedudukan bahaya apabila Hakan Calhanoglu meletakkan kelab Itali itu di depan pada babak pertama di Emirates.
Tetapi Welbeck meredakan ketegangan apabila menyamakan kedudukan empat minit selepas Calhanoglu menjaringkan gol apabila tampak seakan sengaja menjatuhkan badan untuk mendapatkan penalti yang disempurnakan olehnya sendiri.
Tindakan penyerang England itu menerima kritikan oleh pengulas bola sepak manakala pengadil dari Sweden, Jonas Eriksson turut dibidas kerana terpedaya.
“Ia sudah pasti memang sengaja merebahkan badan,” kata bekas pertahanan Arsenal, Martin Keown kepada BT Sport.
Bekas pemain Tottenham, Jermaine Jenas berkata: “Welbeck tidak merasa sebarang sentuhan selain daripada kakinya yang tersandung sesama sendiri dan dia kemudiannya jatuh.
“Pengadil dan pembantu pengadil benar-benar tertipu.”
Gol penyamaan itu jelas meningkatkan semangat Arsenal yang meledak dua lagi gol pada babak kedua menerusi Granit Xhaka dan Welbeck untuk mara dengan keputusan agregat 5-1.
Mengikuti kemenangan ke atas Watford dalam kempen Liga Perdana Inggeris minggu lalu, kejayaan menewaskan Milan adalah yang ketiga berturut-turut buat Arsenal sekali gus memberi ruang buat Wenger untuk kembali ‘bernafas.’-AFP
'Drama' Welbeck Pacu Kemaraan Gunners
Reviewed by Unknown
on
March 16, 2018
Rating:
No comments: