Selesai… Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menerima mengadap Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru hari ini.
Dalam kenyataan dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi baginda iaitu Royal Press Office, selain turut sudi menerima mengadap Ahli Parlimen Padang Rengas itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Kenyataan itu turut memaklumkan Mohamed Nazri mengadap untuk meminta pandangan Sultan Johor berkenaan isu pentadbiran negara masa akan datang dan pada masa sama merafak sembah memohon ampun Tunku Ismail.
Beberapa gambar turut dimuat naik menerusi laman sosial Johor Southern Tigers yang menyaksikan Mohamed Nazri bersalaman dan berbual bersama Sultan Johor serta anakanda baginda yang juga pewaris takhta negeri itu.
“Sebagai manusia biasa pasti buat silap. Jadi apabila sedar, cepat-cepatlah minta maaf. Jangan sampai berpecah-belah. Tambahan pula kita orang Melayu sangat beradab. Jika buat salah, datang mengadap dan mohon ampun.
“Apa jua kemelut yang berlaku sebelum ini saya sudah ampunkan dan Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail) juga sudah ampunkan,” titah baginda kepada Royal Press Office selepas pertemuan selama hampir sejam tersebut.
Sultan Ibrahim bertitah baginda amat mementingkan kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negeri melalui perpaduan serta pengukuhan muafakat Bangsa Johor serta memberi amaran keras kepada segelintir pihak tertentu.
Ia supaya tidak memanjangkan lagi isu ini dan dianggap sudah selesai kerana Sultan Johor pernah tiga tahun lalu murka kepada Mohamed Nazri apabila campur menerusi kenyataan yang mengaitkan urusan institusi diraja Johor.
“Apa yang penting, kita perlu bergerak ke hadapan dan sentiasa mengutamakan perpaduan. Jangan cuba memecah-belahkan perpaduan yang sudah terbina selama ini,” titah baginda lagi dalam kenyataan disiarkan laman tersebut.
Pada 2015, hubungan Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Mohamed Nazri dilihat sedikit tegang selepas kerap berbalas kenyataan pelbagai isu sehingga menjadi tular menerusi laman sosial.
Namun laman rasmi Sultan Johor itu tidak merujuk secara khusus permohonan maaf Mohamed Nazri tersebut sebagai menyentuh kepada mana-mana kes ‘panas’ yang pernah berlaku sebelum ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Nazri Aziz ‘Berdamai’ Merafak Mohon Ampun TMJ
Reviewed by Unknown
on
March 15, 2018
Rating:
No comments: