Terus jatuh… Prestasi skuad Harimau Malaysia kekal merudum bahkan terburuk dalam sejarah sejak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memperkenalkan sistem ranking pada 1993.
Bagaimanapun aksi persahabatan antarabangsa bertemu Mongolia pada minggu depan dijangka memberi signifikan berbeza buat skuad kebangsaan untuk memperbaiki kedudukan Harimau Malaya dalam sejarah bola sepak negara.
Berdasarkan senarai ranking yang dikeluarkan FIFA pada hari ini, skuad negara terus jatuh dan kali ini sebanyak tiga anak tangga lagi ke-178 selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam 10 perlawanan sejak November 2016.
Jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe kini tentu berdepan dengan tekanan untuk kembali memperagakan kebangkitan selepas ganti Nelo Vingada yang letak jawatan apabila gagal raih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan.
Kedudukan Mongolia yang kini berada di ranking ke-189 akan memberi peluang kepada beliau untuk memulakan aksi kendaliannya dengan ‘langkah kanan’ meskipun sedar kemenangan tidak akan hadir dengan begitu mudah.
“Kita tiada pilihan selain menang untuk mengembalikan keyakinan pasukan dan juga penyokong. Kami akan turun barisan terbaik dan tidak pandang rendah Mongolia yang sudah pasti juga mahu meraih kemenangan,” katanya.
Skuad negara akan bertemu Mongolia di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 Mac ini, pukul 8.45 malam. Malaysia yang menghuni ranking kelapan Asia Tenggara, sebelum ini di tangga ke-175 sepanjang dua bulan lalu.
Namun Harimau Malaya kemudian dipintas pasukan lebih kerdil antara St Lucia, Kosovo dan Belize, dengan kemenangan terakhir skuad negara kita hanya diraih ketika menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi Piala AFF 2016.
Cheng Hoe bagaimanapun enggan terlalu memikirkan mengenai isu ranking dan kini meletakkan fokus terhadap 29 pemain yang bakal diturunkan bagi aksi bertemu Mongolia serta Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan.
“Saya panggil mereka untuk menilai kesemuanya pada sesi latihan kerana bukan semua boleh beraksi menentang Mongolia,” katanya merujuk kepada hanya enam pemain simpanan dibenarkan bagi aksi persahabatan Kelas A.
“Selepas aksi bertemu Mongolia, saya akan gugur lima pemain kerana hanya 24 pemain yang akan dibawa ke Beirut pula,” jelasnya. Perlawanan timbal balas kedua itu diadakan di Stadium Camille Chamoun Sport City pada 27 Mac.
Vietnam kekal selaku jaguh bola sepak peringkat Asia Tenggara dengan kedudukan ke-113 diikuti Filipina (122), Thailand (129), Myanmar (142), Indonesia (162) serta Kemboja dan Singapura masing-masing di tangga ke-171.
Jerman kekal di tangga pertama FIFA diikuti Brazil dan Portugal. Di Asia pula, Iran terus unggul di tempat ke-33 dunia manakala Senegal cemerlang di benua Afrika dengan posisi yang ke-27. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Harimau Malaya Terus Gah ‘Merudum Terburuk’ Ke-178
Reviewed by Unknown
on
March 15, 2018
Rating:
No comments: