Seo Services

‘Gadis Kebaya Merah’ Hantu Atau…..


Sesiapa sahaja yang pernah melalui pengalaman menyeramkan ‘bertembung’ dengan makhluk halus pasti takkan lupa insiden itu sampai bila-bila.

Biar pun kisah mengenai penampakan hantu ini sering diceritakan dari mulut ke mulut, jarang sekali makhluk ini dapat dirakamkan oleh kamera terutama sekali apabila ia ‘dicari.’

Semalam, tular di media sosial satu rakaman video yang dirakamkan daripada kamera dashcam sebuah kereta apabila pemandu diganggu seorang wanita misteri berkebaya merah yang nyata memacakkan bulu roma netizen yang melihatnya.

Berdasarkan tarikh di rakaman tersebut, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 3.25 pagi awal pagi Rabu lalu dan menurut pemandu kereta berkenaan yang dikenali sebagai Megat, penampakan itu terjadi di Jalan Bukit Lengkok, Kulim, Kedah.

Rakaman tersebut bermula dengan kenderaan itu sedang menyelusuri jalan yang gelap dan berselekoh, sebelum penampakan seorang wanita berkebaya merah di kaki jalan namun pemanduan diteruskan.

Kemudian, dua lagi wanita berpakaian sama turut berada di bahu jalan sebelum kereta berkenaan berhenti secara mengejut selepas wanita berkebaya merah itu berdiri di tengah jalan sekaligus menghalang laluan.

Dalam perjalanan itu juga radio yang dimainkan pada mulanya berfungsi dengan baik namun kemudiannya mula mengalami gangguan siaran sebelum penampakan wanita itu buat kali keempat.

Para netizen berjaya ‘diseramkan’ dengan video itu di media sosial, namun tidak kurang juga yang mempersoalkan kesahihan rakaman itu.

Persoalan itu dikuatkan lagi dengan tersebarnya tangkap layar (screenshot) dari aplikasi WhatsApp oleh seorang individu yang mengaku bertanggungjawab melakonkan adegan seram itu bersama rakan-rakannya.

Dalam pada itu, ada juga yang beranggapan bahawa rakaman ini merupakan strategi pemasaran bagi sebuah filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi iaitu The Legend Of Pontianak.

Filem berkenaan menampilkan Nur Fazura sebagai teraju utamanya dan pelakon itu juga sebelum ini pernah memuat naik gambar dirinya mengenakan baju kebaya merah di laman Instagram pada Februari lalu.

Ada juga yang memperkatakan tidak mungkin sosok tubuh berkebaya merah itu di dalam video itu merupakan Fazura memandangkan kain yang digunakan berbeza dengan gambar yang dimuat naik pelakon itu.

Kisah hantu kebaya merah ini sebenarnya bukanlah baru, sebelum ini pada tahun 2009, kisah hantu ini pernah hangat diperkatakan menonjolkan diri di Kedah sehingga menyebabkan beberapa kemalangan lebuh raya di negeri itu.

Berita tersebut hangat diperkatakan ramai ketika itu namun seperti telah dilupakan sebelum kembali menjadi buah mulut netizen selepas kemunculan video terbaharu ini.

Buat masa ini, kesahihan video berkenaan masih belum dapat dibuktikan dan sekaligus membuatkan netizen hanya mempercayai apa yang ingin dipercayai setakat ini.

Kalau betul ini semua hanya mainan publisiti, pasti ramai yang akan pergi menyaksikan filem The Legend Of Pontianak apabila ia ditayangkan di pawagam kelak. – MYNEWSHUB.CC/EZ
‘Gadis Kebaya Merah’ Hantu Atau….. ‘Gadis Kebaya Merah’ Hantu Atau….. Reviewed by Unknown on March 29, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.