Seo Services

Jabatan Kesihatan Sarawak Nafi Penularan Wabak Penyakit Di Miri

Foto The Borneopost
KUCHING: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Jamilah Hashim memaklumkan pihaknya menafikan berlakunya wabak penyakit yang belum dikenalpasti di Miri berikutan mesej yang tular menerusi media sosial sejak semalam.

Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, pihaknya maklum mengenai mesej yang tular itu, namun, kandungan mesej tersebut adalah tidak tepat.

Menurutnya lagi, hasil semakan dan verifikasi pemantauan wabak penyakit berjangkit, didapati tiada peningkatan ketara sebarang penyakit berjangkit di Miri sejak sembilan bulan lalu.

“Meskipun begitu jelasnya, pihak pengurusan Hospital Miri mengesahkan sememangnya terdapat sedikit peningkatan kemasukan pesakit ke wad di Hospital Miri sejak awal Februari, terutamanya di Wad Kanak-Kanak,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, trend seperti ini sememangnya lazim berlaku setiap tahun selepas musim perayaan atau keraian.

Namun begitu, kemasukan tersebut adalah disebabkan oleh pelbagai penyakit dan bukan hanya disebabkan oleh sebarang penyakit berjangkit yang spesifik, jelasnya.

Satu mesej yang turut ditularkan adalah mengenai ‘Memo Dalaman Hospital Miri: Notis Segera Penangguhan Pembedahan Elektif bertarikh 7 Mac 2018.’

Pengarah Hospital Miri, katanya memberitahu notis ini dikeluarkan berikutan peningkatan kemasukan pesakit ke hospital tersebut secara keseluruhan, termasuk di Unit Penjagaan Rapi (ICU).

“Notis ini ditujukan kepada semua Ketua Jabatan di hospital tersebut dan bukan kepada orang awam untuk tindakan menangguhkan buat sementara waktu kes pembedahan elektif - bukan pembedahan kecemasan.

"Ini bagi membantu menguruskan kes pesakit di wad dengan lebih efisyen, di mana beberapa kakitangan Dewan Bedah adalah diminta membantu di wad.

"Perkhidmatan hospital termasuk pembedahan terutama bagi kes kecemasan adalah tidak terjejas dan masih diteruskan," jelasnya.

Dr Jamilah turut menasihatkan orang ramai agar tidak khuatir dan menyeru masyarakat khususnya netizen supaya berhenti menyebarkan berita-berita yang tidak sahih kerana ia boleh menimbulkan kecelaruan di kalangan masyarakat.

Sekiranya orang ramai ingin mendapatkan kepastian/pengesahan ke atas mesej-mesej yang telah ditularkan, bolehlah menghubungi Crisis Preparedness and Response Centre, Jabatan Kesihatan Negeri di talian 082-443248.

Jabatan Kesihatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan memberi maklumat lanjut kepada umum sekiranya terdapat sebarang perkembangan lanjut mengenai perkara ini dari semasa ke semasa. – Sarawakiana
Jabatan Kesihatan Sarawak Nafi Penularan Wabak Penyakit Di Miri Jabatan Kesihatan Sarawak Nafi Penularan Wabak Penyakit Di Miri Reviewed by uMieySurianie on March 09, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.