Seo Services

Sarawak Berpotensi Jadi Pengeluar Utama Sarung Tangan Getah


BETONG: Industri getah Sarawak perlu dibangunkan secara lebih terancang dan teliti mengikut Pelan Induk Industri Getah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ini katanya, bagi memenuhi permintaan serta mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap import bahan mentah.

Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, Malaysia adalah pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia tetapi mengimport getah lateks dari negara jiran kerana keluaran tempatan tidak mencukupi.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu berkata, baka yang digunakan petani Sarawak sebelum ini hanya sesuai untuk dijadikan getah SMR, manakala pokoknya pula tidak sesuai untuk dijadikan perabot.

“Sekarang kita mempunyai 165,000 hektar getah. Sebahagian besar sudah ditoreh tetapi di Sarawak apabila kita menanam semula, amalan kita sekarang ialah kita tebang dan kita biarkan pokok getah.

“Sedangkan di Semenanjung Malaysia kayu pokok getah ini sumber pendapatan untuk pekebun kecil kerana kayu getah mempunyai nilai pasaran yang tinggi untuk dijadikan perabot,” jelas beliau.

Katanya, dengan adanya infrastruktur moden serta tanah kosong yang masih banyak untuk ditanam getah, potensi untuk membangunkan industri berteraskan getah lateks seperti sarung tangan sangat besar di Sarawak.

“Tanah kita masih luas, sebab itu dalam jangkamasa 10 tahun akan datang kita mahu menambah 200,000 hektar lagi,” kata Uggah.

Tambahnya lagi, dengan adanya bekalan lateks yang mencukupi beliau yakin Sarawak mampu menarik pelabur untuk datang ke sini seterusnya menyediakan peluang pekerjaan serta menambah pendapatan petani.

“Saya sudah mengarahkan SALCRA untuk menanam 5,000 hektar getah. Kita mahu industri getah kita mempunyai dua pemain utama iaitu pekebun kecil dan ladang-ladang besar.

“Kita mahu keluarkan getah SMR, getah lateks dan pokok getah yang sesuai untuk dijadikan perabot,” ujarnya. – Sarawakiana
Sarawak Berpotensi Jadi Pengeluar Utama Sarung Tangan Getah Sarawak Berpotensi Jadi Pengeluar Utama Sarung Tangan Getah Reviewed by uMieySurianie on March 09, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.