Seo Services

Pendidikan Moral Masih Relevan


KUALA LUMPUR – Mata pelajaran Pendidikan Moral di sekolah rendah dan menengah yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan untuk murid bukan Islam masih relevan untuk diguna pakai sejajar dengan kehendak kurikulum abad ke-21.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata transformasi kurikulum yang dilaksanakan kementerian itu dari masa ke masa dapat melahirkan pelajar yang berdaya tahan, mahir berkomunikasi, pemikir, kerja pasukan, bersifat ingin tahu, berprinsip, bermaklumat, penyayang, prihatin dan patriotik.

“Mata pelajaran Pendidikan Moral yang diperkenalkan kepada murid-murid bukan Islam di peringkat sekolah rendah dan menengah bertujuan untuk membentuk insan yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan boleh menyumbang ke arah keharmonian dan kestabilan negara serta masyarakat global.

“Transformasi dalam kurikulum Pendidikan Moral mulai tahun lalu bermula dengan murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu iaitu melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017) serta Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM),” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias yang ingin tahu sama ada kurikulum Pendidikan Moral masih relevan dengan persekitaran semasa.

Mengenai statistik jenayah yang melibatkan pelajar seluruh negara, Chong berkata berdasarkan Sistem Sahsiah Diri Murid yang direkodkan melakukan unsur jenayah di sekolah rendah dan menengah bagi tahun lalu adalah 0.04 peratus bagi murid sekolah rendah manakala 0.028 peratus bagi sekolah menengah.

​Beliau turut menjelaskan bahawa berdasarkan statistik dan analisis yang dibuat bagi 2012 sehingga tahun lalu, ‘trend’ salah laku pelajar menunjukkan penurunan.

“Didapati semua unsur jenayah terutama dadah ada kaitan dengan tempat tinggal mereka. Suasana status sosioekonomi itu mempengaruhi kecenderungan kepada seseorang murid itu untuk menghadapi masalah berkenaan jenayah termasuk dadah.

Kita tidak boleh menghapuskan 100 peratus di pihak sekolah sahaja, kita memerlukan bantuan seperti daripada masyarakat setempat dan polis agar jenayah itu boleh dikurangkan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Salim Sharif. – BERNAMA
Pendidikan Moral Masih Relevan Pendidikan Moral Masih Relevan Reviewed by uMieySurianie on April 05, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.