Seo Services

Jawatankuasa Lembaga Pengampunan Dijangka Bersidang Esok


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dijangka bersidang jam 5 petang esok mengenai pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah berkata, beliau dimaklumkan perkara itu oleh peguam, R Sivarasa namun tidak mengetahui butiran lanjut mengenainya.

"Saya diberitahu oleh peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim pertemuan jawatankuasa pengampunan akan berlangsung jam 5 petang esok.

"InsyaAllah (Anwar) akan keluar esok tapi saya tak tahu butiran berapa lama sesi pertemuan itu mengambil masa," katanya ketika ditemui media di Hospital Rehabilitasi Cheras di sini hari ini.

Terdahulu, Nurul Izzah tiba di wad hospital berkenaan pada jam 11.13 pagi untuk bertemu bapanya sebelum keluar pada jam 1.10 petang bertemu dengan puluhan wakil media yang berkumpul sejak jam 9.30 pagi bagi mendapatkan perkembangan terkini Anwar.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar turut dijadual hadir ke pusat rehabilitasi ini melawat Anwar pada jam 10.30 pagi namun sehingga jam 1.30 tengah hari tadi, petugas media masih menantikan kehadiran beliau.

BH semalam melaporkan Rusli Ibrahim yang juga adik kandung kepada Anwar mengesahkan Ketua Umum PKR itu akan dibebaskan, esok.

Beliau dipetik berkata, pagi Selasa ini (esok) Jawatankuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bersidang bagi membincangkan perkara itu.

Nurul Izzah sebelum ini juga memberitahu bapanya akan dibebaskan esok ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Anwar dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2015 menolak rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya serta hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Tinggi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyatakan kesediaan baginda untuk memberi pengampunan segera kepada Anwar.

"Ia adalah pengampunan penuh, yang juga bermaksud beliau bukan sahaja diberi pengampunan tetapi juga akan dibebaskan dengan segera apabila mendapat pengampunan," kata Dr Mahathir. - BH Online

Jawatankuasa Lembaga Pengampunan Dijangka Bersidang Esok Jawatankuasa Lembaga Pengampunan Dijangka Bersidang Esok Reviewed by uMieySurianie on May 14, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.