Seo Services

Larangan Masuk Sabah Terhadap Pemimpin PH Ditarik Balik


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan larangan memasuki Sabah terhadap pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) dari Semenanjung oleh kerajaan negeri sebelum ini ditarik balik.

Beliau berkata, ia membabitkan semua pemimpin yang pernah dikenakan tindakan itu oleh Jabatan Imigresen negeri, termasuk Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.

Mohd Shafie mengumumkan perkara itu pada sidang media pertamanya selepas memulakan tugas Ketua Menteri di pejabat Ketua Menteri Sabah di Tingkat 32, bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri turut menyerahkan kepada Jabatan Imigresen untuk mengambil tindakan jika perlu menghalang mana-mana individu atau pemimpin berkaitan daripada meninggalkan negeri ini.

"Jika orang dari luar boleh dihalang memasuki negeri ini kenapa tidak orang yang dari negeri ini juga boleh dihalang keluar," katanya menjawab soalan berkaitan siasatan salah laku yang mungkin dilakukan terhadap kerajaan sebelum ini.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, beliau akan menemui ketua jabatan dan agensi serta semua kakitangan kerajaan negeri untuk memaklumkan mengenai hala tuju kerajaan pimpinannya.

Katanya, beliau juga akan mendapatkan taklimat Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkaitan situasi keselamatan di Sabah bagi merangka langkah yang akan diambil seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Saya akan buat beberapa taklimat dan pertemuan dengan ketua jabatan serta anggota perkhidmatan awam untuk membolehkan saya menjelaskan hala tuju kerajaan negeri di bawah kepemimpinan yang baharu kerana adalah penting untuk mereka memahami hala tuju kerajaan.

"Saya juga akan meminta taklimat daripada Pesuruhjaya Polis Sabah berkaitan keselamatan. Seperti saya janjikan ada beberapa pendekatan akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, iaitu pembaharuan yang akan dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan membuat pengumuman rasmi berhubung kerjasama Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama Pakatan Harapan (PH) dengan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) selepas membentuk pakatan menubuhkan kerajaan negeri.

Katanya, beliau juga akan menemui semua wakil rakyat gabungan kerajaan untuk memberikan taklimat berkaitan beberapa perkara termasuk keperluan mengisytiharkan harta.

"Ini termasuk keputusan kerajaan negeri untuk melarang anggota Kabinet menjalankan perniagaan atau terbabit dalam kegiatan berkaitan hartanah bagi mengelak wujud konflik kepentingan," katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie melahirkan rasa syukur memulakan tugas sebagai Ketua Menteri tanpa apa-apa halangan hasil perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman. - BH
Larangan Masuk Sabah Terhadap Pemimpin PH Ditarik Balik Larangan Masuk Sabah Terhadap Pemimpin PH Ditarik Balik Reviewed by Unknown on May 14, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.