KUCHING - Penjaja dan peniaga kecil bumiputera terutama beragama Islam berpeluang mendapat Pinjaman Mikro-i Bazar Ramadan.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan), Datuk Mohd. Naroden Majais berkata, pinjaman tanpa faedah di bawah Skim Bazar Ramadan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama pihaknya itu sedang mengenal pasti individu yang layak membuat pinjaman.
Katanya, syarat layak memohon adalah individu tersebut perlu terlibat dalam perniagaan juadah makanan dan minuman sepanjang bulan Ramadan, berusia 18 hingga 65 tahun dan tidak disenaraihitamkan oleh Bank Rakyat.
Pada 8 Mei lalu, kerajaan meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM2 juta daripada RM45 juta di seluruh negeri ini bagi ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bumiputera Sarawak (PKBS) dan boleh ditambah sehingga RM4 juta jika ada permintaan.
Skim ini pertama kali diperkenalkan. Keutamaan diberikan kepada 25,000 ahli di bawah PKBS dan dianggarkan kira-kira 5,000 orang akan berniaga, namun bagi mereka yang bukan ahli masih boleh memohon dengan mendaftar diri di cawangan PKBS di seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai skim bazar Ramadan untuk peniaga dan penjaja kecil di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penolong Pengarah Kanan, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Alexander Averon Suwin dan Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri (MPPPKN), Nawawi @ Narawie Ibrahim.
Mengulas lanjut, Mohd. Naroden berkata, jumlah pinjaman adalah dari RM500 hingga RM3,000 seorang mengikut kategori jualan mereka.
Selain itu, pinjaman ini juga dilindungi insurans takaful. Tempoh bayaran balik pinjaman adalah dua bulan selepas tamat bulan Ramadan.
Orang ramai diminta memohon secepat mungkin kerana tarikh tutup adalah 28 Mei ini," ujarnya.
Kerajaan negeri tawar Pinjaman Mikro-i Bazaar Ramadhan
Reviewed by Unknown
on
May 15, 2014
Rating:
No comments: