Seo Services

Najib Sertai 10,000 Peserta Program Berbasikal 'KL Car Free Morning'

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad menyertai 10,000 peserta program berbasikal di ibu negara 'KL Car Free Morning' edisi kelima dalam usaha mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida di pusat bandar raya.

Perdana Menteri yang pertama kali menyertai program itu kelihatan lengkap berpakaian sukan berwarna merah ala-ala seorang penunggang basikal profesional selain memakai topi keledar dan berbasikal sejauh kira-kira tiga kilometer di kawasan berdekatan KLCC.

Program dua jam itu bermula pukul 7 pagi dari KLCC ke sekitar kawasan berdekatan membabitkan Bukit Bintang, Jalan P Ramlee, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi dan Jalan Ampang.

Selain berbasikal, peserta turut menikmati program 'KL Car Free Morning' dengan berkasut roda dan bermain papan luncur selain berjoging bersama kawan dan anggota keluarga tanpa hiruk piruk kenderaan di kawasan tumpuan kesesakan jalan raya ini.

Perdana Menteri selesai berbasikal pukul 8.10 pagi dan beramah mesra dengan peserta tempatan dan asing sebelum meninggalkan majlis.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata pihaknya sedia menimbang untuk menganjurkan program itu dua kali sebulan jika ada permintaan daripada warga kota supaya ia diadakan lebih kerap berbanding hanya pada Ahad minggu pertama setiap bulan sekarang.

"Kami sentiasa bersedia kalau penduduk KL nak dua bulan sekali untuk mereka nikmati persekitaran yang bersih," katanya.

Beliau berkata penduduk kota metropolitan ini kini dilihat semakin memilih gaya hidup sihat apabila jumlah peserta KL Car Free Morning kian bertambah daripada 2,000 orang pada edisi pertama Januari lalu, Februari (2,500), Mac (5,000), April (7,000) dan kini meningkat kepada 10,000 orang.

"Ia merupakan satu pengiktirafan kepada usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggalakkan gaya hidup sihat selain membolehkan orang ramai meluangkan masa secara berkualiti bersama keluarga.

"Untuk itu, DBKL setuju menyumbang sebanyak 400 basikal kepada 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Kuala Lumpur bagi menggalakkan lagi mereka berbasikal yang mana kita jangka setiap NGO akan dapat lima unit basikal," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana KL Car Free Morning Datuk Naim Mohamad berkata program itu dijalankan bagi mewujudkan suasana persekitaran yang sihat selain mengeratkan hubungan pelbagai lapisan masyarakat di bandar raya ini.

"Kami berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini yang mana terdapat peningkatan dari 2,000 ke 10,000 pengunjung kini.

"Jika lebih ramai akan terlibat kelak dan penyertaan yang lagi meriah dari hari ini, kita berharap ia dapat diadakan seminggu sekali berbanding sebulan sekali," katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan Kedutaan Belanda, Anne de Graaf berkata program ini tidak asing bagi mereka kerana aktiviti berbasikal adalah rutin harian di negara mereka.

"Kami sangat gembira menyertai program ini dan kami memang menyukainya. Kami berasa seperti berada di tempat sendiri malah kami berbasikal pada waktu malam di beberapa lokasi di sini," katanya sambil menambah pihaknya menaja empat basikal untuk tetamu kehormat program itu.-- BERNAMA

Najib Sertai 10,000 Peserta Program Berbasikal 'KL Car Free Morning' Najib Sertai 10,000 Peserta Program Berbasikal 'KL Car Free Morning' Reviewed by Admin on May 04, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.