Seo Services

Sarawak ikat Pahang di arena sendiri

Kuching: Sarawak terpaksa berpuas hati meraih satu mata selepas terikat 1-1 dengan Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri, di sini, malam tadi.
 
Kapten pasukan, Joseph Kalang Tie muncul wira tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan sebaik babak kedua bermula, dengan menyudahkan hantaran lintang Ashri Chuchu yang melakukan gerakan solo di sebelah kiri.
 
Jaringan itu sekali gus menghidupkan semula sorakan kira-kira 25,000 penyokong setia Ngap Sayot yang sebelum itu pudar dengan jaringan pendahuluan oleh pemain import Pahang, Mathias Ruben Conti pada minit 33 perlawanan.
 
Conti bijak menolak masuk muntahan bola selepas percubaan dari luar kotak penalti penyerang Pahang, Gopinathan Ramachandra gagal ditangkap kemas Mohd Fadley Rahim.
 
Bermain tanpa lima tonggak utama yang cedera dan digantung, anak buah Robert Alberts bagaimanapun wajar dipuji apabila berjaya mengekang serangan bertali arus Pahang.
 
Tanpa Ronny Harun, pertahanan Sarawak tampak goyah bagi membolehkan barisan penyerang skuad Tok Gajah, terutama Gopinathan dan Mohd Faizul Hussein merencanakan serangan.
 
Bagaimanapun, kekentalan pertahanan yang diterajui Mohd Hairul Mokhtar berjaya mengukuhkan kubu Sarawak dari terus dibolosi untuk keputusan muktamad 1-1.
 
Sementara itu, dalam satu lagi saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, PKNS FC terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menjinakkan Lions XII , 2-1.
 
Begitupun pelawat lebih dulu berada di depan menerusi Gabriel Quak pada minit ke-25, sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan melalui Mohd Arip Amiruddin tujuh minit selepas itu.
 
PKNS memastikan mata penuh dalam genggaman apabila Patrick Wleh meledak gol kemenangan sebaik saja babak kedua bersambung.-BH
Sarawak ikat Pahang di arena sendiri Sarawak ikat Pahang di arena sendiri Reviewed by uMieySurianie on June 18, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.