SERIAN - Polis menggesa penduduk yang tinggal di kawasan sempadan agar bekerjasama menyalurkan maklumat bagi membendung aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyebaran wabak penyakit berjangkit oleh rakyat negara jiran.
Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, Datuk Isa Munir berkata, tanpa kerjasama daripada masyarakat adalah mustahil untuk pihaknya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengekalkan keamanan serta ketenteraman awam.
Beliau berkata, ketika ini, pihak berkuasa perlu bertemu sendiri dengan penduduk untuk mendapatkan maklumat kerana tidak ramai orang awam yang secara sukarela melaporkan sesuatu kes walaupun mengetahui berlaku aktiviti jenayah di kawasan sempadan.
"Setakat ini, kerjasama penduduk dengan polis di kawasan sempadan memang baik tetapi perlu ditingkatkan lagi. Hal ini kerana mereka (penduduk) hanya akan bercakap tentang maklumat jenayah jika kita sendiri datang berjumpa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Kastam (CIQ) Tebedu di Surau Darul Syahadah, Tebedu di sini malam tadi.
Isa berkata, daerah Tebedu sebagai contoh memiliki kedudukan geografi yang terletak bersempadan dengan Indonesia.
Katanya, tanpa kerjasama antara polis dengan masyarakat serta agensi kerajaan yang lain adalah sukar untuk pihaknya memerangi aktiviti jenayah yang berlaku di sempadan berkenaan.
"Keadaan ini akan menggalakkan berlaku aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan penculikan, malah penyakit berjangkit seperti kusta juga boleh disebarkan oleh rakyat asing yang terlepas masuk ke negara ini," ujarnya.
Isa menegaskan, perkara itu tidak boleh dipandang remeh kerana terdapat laporan baru-baru ini yang menunjukkan ada peningkatan kes jangkitan kusta di Sarawak berkemungkinan berpunca daripada rakyat asing.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk menaik taraf pos kawalan PGA di tujuh CIO terdapat di negeri ini.
Katanya, proses menaik taraf itu meliputi pertambahan jumlah kemudahan dan bangunan serta penempatan satu platun yang mempunyai kekuatan 30 anggota berbanding seksyen yang hanya menempatkan 10 anggota bertugas ketika ini.
"Kita memerlukan peruntukan kira-kira RM1.5 juta untuk kerja-kerja menaik taraf kesemua tujuh CIQ ini dan berharap ia diluluskan oleh kerajaan bagi membantu pasukan mengukuhkan kawalan di sempadan," katanya.
Penduduk yang tinggal di kawasan sempadan digesa salur maklumat
Reviewed by Unknown
on
July 25, 2014
Rating:

No comments: