Seo Services

Generasi muda perlu manfaatkan nilai kemerdekaan


KUCHING 21 Ogos - Nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara sejak 57 tahun lalu, perlu dimanfaatkan oleh seluruh rakyat terutama generasi muda bagi memajukan diri ke arah yang lebih baik.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata, pelbagai perubahan dan kejayaan dikecapi Sarawak hasil pentadbiran kerajaan yang baik dengan penyediaan pelbagai infrastruktur dan kemudahan untuk rakyat.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menubuhkan banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta seperti Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Curtin, Swinburne, Pusat GiatMara dan politeknik untuk menimba ilmu.

"Sehubungan itu, generasi muda perlu melengkapkan diri dengan kemahiran tertentu seperti teknikal bagi menyumbang kepada kejayaan beberapa projek yang disediakan oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pemangku Pengarah Penerangan negeri, Zaini Mohamad.

Sebanyak 32 kenderaan pelbagai jenis dan 30 motosikal termasuk 20 motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam Konvoi Kembara Merdeka 2014 itu yang akan menjelajah di sekitar bandar raya ini.

Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu, tema sambutan kemerdekaan ke-57 kali ini iaitu `Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' sangat sesuai kerana ia berpaksikan kepada prinsip cinta kepada negara, Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan dan perpaduan kaum.

"Dalam kita menghadapi cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini, pegangan kepada tema ini sangat penting agar kita tidak tersisih daripada arus kemajuan dunia dan menjadi mangsa penindasan pihak tertentu," katanya.

Generasi muda perlu manfaatkan nilai kemerdekaan Generasi muda perlu manfaatkan nilai kemerdekaan Reviewed by Unknown on August 25, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.