Seo Services

Indeks bekalan rumah di Sarawak pada kadar stabil


KUCHING - Indeks Pusat Maklumat Hartanah Negara (Napic) bagi suku pertama 2014 menunjukkan bekalan rumah di negeri ini semakin stabil iaitu sebanyak 22,658 unit dalam proses pembinaan manakala 926 unit hampir siap.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, indeks tersebut menunjukkan petanda baik bagi pembangunan ekonomi negeri ini namun rakyat tidak dapat lari daripada berhadapan dengan kenaikan harga rumah terutama di kawasan bandar utama.

Katanya, bagi mengatasi masalah tersebut, beliau menyarankan para pemaju perumahan di negeri ini supaya merancang pembangunan yang komprehensif dan bersepadu di kawasan baharu bagi mengatasi kesan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar utama.

"Para pemaju perumahan baharu boleh mengambil contoh perubahan pembangunan di tiga lokasi pinggir bandar seperti Kota Samarahan, Matang Jaya dan Batu Kawa yang dahulunya merupakan hutan tebal tetapi kini semakin membangun.

"Saya percaya pembangunan itu akan diiringi dengan transformasi lain seperti pembinaan infrastruktur dan laluan kenderaan bagi memudahkan penduduk di kawasan tersebut ke pusat bandar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dalam Majlis Perasmian Ekspo Perumahan dan Harta Tanah Sarawak 2014 anjuran Persatuan Perumahan dan Pemaju Hartanah Sarawak (Sheda) di Pusat Konvensyen Kuching Borneo (BCCK), di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Menteri Perumahan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Presiden Sheda, Zaidi Ahmad.

Mengulas lanjut Adenan berkata, indeks harga rumah di Malaysia meningkat sebanyak lapan peratus pada suku pertama hingga suku keempat tahun lalu namun Sarawak hanya mengalami peningkatan kira-kira 1.5 peratus.

Walau bagaimanapun katanya, harga rumah di seluruh negara dianggarkan kira-kira RM276,000 berbanding Sarawak iaitu RM342,000 berikutan pendapatan isi rumah di negeri ini semakin meningkat.

"Justeru, saya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Tanah dan Survey dalam tempoh terdekat bagi mempermudahkan kelulusan projek perumahan di kawasan baharu dilaksanakan.

"Langkah ini juga sebagai galakan kepada para pemaju perumahan untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri membangunkan kawasan luar bandar dan pedalaman sekali gus mengatasi masalah perpindahan penduduk serta me­ngawal harga rumah daripada terus meningkat," katanya.


Indeks bekalan rumah di Sarawak pada kadar stabil Indeks bekalan rumah di Sarawak pada kadar stabil Reviewed by Unknown on August 25, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.