Seo Services

Kertas siasatan kes bunuh dua pelajar Britain telah lengkap untuk tindakan lanjut

KUCHING: Kertas siasatan bagi kes bunuh dua pelajar Britain pada 6 Ogos lalu telah siap dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, pihaknya telah menyelesaikan siasatan itu dengan tertangkapnya lima suspek yang telah direman.

"Suspek kelima telah ditahan di rumahnya di Kuching hasil siasatan lanjut daripada empat suspek lain.

"Dia yang disyaki terlibat dalam kes ini telah direman pada 8 Ogos lalu hingga 15 Ogos ini bagi membantu siasatan," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Seramai 70 pegawai kanan di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak daripada pangkat Inspektor hingga ke Asisten Supritendan Polis (ASP) menerima kenaikan pangkat daripada Muhammad Sabtu.

Difahamkan suspek kelima lelaki berumur 55 tahun yang tidak bekerja telah ditangkap di rumahnya di Synergy Square di Matang.

Dalam kejadian pukul 4.15 pagi pada 6 Ogos lalu di Jalan Abell, Padungan di sini, Neil Gareth Dalton, 23, dan Aidan Brunger, 22, maut ditikam dengan senjata tajam selepas mereka bergaduh dengan empat lelaki tempatan ketika mereka yang sama-sama mabuk berkunjung ke sebuah pusat hiburan terletak kira-kira 80 meter dari lokasi kejadian.

Tambah Muhammad Sabtu, pihaknya sentiasa membuat pemantauan termasuk di pusat hiburan dengan kekuatan anggota yang ada sebaik mungkin bagi memastikan keselamatan orang ramai.

"Sekiranya terdapat keraguan, mereka boleh merujuk kepada saya di pejabat. Kita terbuka dan telus dalam memastikan keselamatan rakyat.

"Mana-mana pihak boleh membantu kita, bekerjasama dengan polis untuk memastikan keselamatan semua," ujarnya mengulas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How (Parti Keadilan Rakyat) yang mendakwa kejadian bunuh pelajar itu mungkin berhubung kait dengan kekurangan anggota polis.

Sementara itu, Muhammad Sabtu mengucapkan tahniah kepada pegawai polis yang mendapat kenaikan pangkat.

"Diharap mereka akan menjalankan tugas dengan lebih amanah, efisien dan paling penting bertanggungjawab kepada masyarakat.

"Tidak kisah dari mana mereka, asal layak dan berkebolehan (dinaikkan pangkat), tidak ada perasaan membezakan dari mana. Setakat ini seramai 17 Ketua Polis Daerah berasal dari Semenanjung dan 11 lagi merupakan anak tempatan," jelasnya.

Muhammad Sabtu berkata, beliau berharap tidak ada pihak cuba gembar-gemburkan perasaaan itu yang mana menyatakan jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri perlu anak tempatan. - Sarawakiana

Kertas siasatan kes bunuh dua pelajar Britain telah lengkap untuk tindakan lanjut Kertas siasatan kes bunuh dua pelajar Britain telah lengkap untuk tindakan lanjut Reviewed by Admin on August 11, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.