Seo Services

Loji Elektrik Perbincangan Diadakan Dengan Penduduk Tempatan


KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak perlu mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan masyarakat di kawasan pedalaman yang terlibat dalam projek pembangunan loji hidroelektrik bagi menyelesaikan masalah sumber tenaga elektrik di negeri ini.

Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, usaha itu perlu bagi memastikan kesulitan dihadapi oleh penduduk yang terpaksa dipindahkan ke kawasan penempatan semula bagi membolehkan projek tersebut dibina di perkampungan mereka dapat ditangani dengan baik.

"Jadi dalam usaha mengukuhkan lagi kapasiti sumber tenaga elektrik di negeri ini, kerajaan perlu mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan masyarakat yang terlibat dalam pembangunan loji hidroelektrik.

"Kerajaan mengetahui bahawa gangguan (kesulitan) yang terpaksa ditempuh oleh komuniti tempatan di situ. Kita komited bersama-sama mereka dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) bagi memastikan keperluan bagi penempatan semula dibuat dengan betul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Makan Tengah Hari Ulang Tahun Ke-31 Angkatan Zaman Mansang Sarawak (Azam) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Pengerusi Azam yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Abdul Taib memberitahu, sebagai contoh, dalam penempatan semuladi Murum, Kapit, tidak kurang 40 rundingan komuniti perancangan dan kira-kira 80 mesyuarat tidak rasmi telah diadakan bagi menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat di kawasan terlibat.

Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta Azam mempertingkatkan keupayaan bagi memenuhi keperluan komunikasi kompleks dalam pembangunan supaya terus efisien kepada masyarakat, negeri dan negara.

"Setakat ini, Azam Sarawak telah menunjukkan kemampuan mereka dalam menyesuaikan diri dengan perubahan zaman menjadi sebuah pertubuhan yang berpengalaman, kukuh dan berkebolehan.

"Pertubuhan ini mampu menangani cabaran pada masa hadapan dan membantu masyarakat untuk mendapat perspektif yang lebih baik seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri bagi mencapai pembangunan terutama pembangunan baru yang dilaksanakan di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE)," ujarnya.

Azam yang ditubuhkan pada 1983 merupakan NGO berperanan memudahkan usaha pembangunan di Sarawak dengan mempromosikan komunikasi pembangunan melibatkan rakyat.


Loji Elektrik Perbincangan Diadakan Dengan Penduduk Tempatan Loji Elektrik Perbincangan Diadakan Dengan Penduduk Tempatan Reviewed by Unknown on August 28, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.