Seo Services

#Bajet2015 : Bukti Kerajaan Persekutuan Tidak Meminggirkan Sabah Dan Sarawak


BUKIT MERTAJAM: Peruntukan lebih RM30 bilion dalam Bajet 2015 untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak jelas membuktikan kerajaan persekutuan tidak pernah meminggirkan kedua-dua negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Katanya Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan ingin membangunkan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata Sabah dan Sarawak merupakan dua buah negeri yang besar dan memerlukan banyak penambahbaikan dari segi infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan elektrik.

"Saya berasa gembira dengan Bajet 2015 kerana ia menunjukkan bahawa Perdana Menteri mendengar permintaan masyarakat Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita sebelum merasmikan Program Memperkasa Informasi Generasi Muda di sini pada Sabtu.

Nancy, yang juga Anggota Parlimen Batang Sadong berkata pembinaan infrastruktur seperti lebuh raya Pan Borneo antara Sarawak dan Sabah akan menyediakan rangkaian jalan raya untuk kemudahan penduduk kedua-dua negeri.

"Sehingga kini, penduduk Sarawak khusus dari Miri yang ingin ke Sabah terpaksa membawa pasport kerana satu-satunya jalan yang menghubungkan kedua-dua negeri ini adalah melalui Brunei dan mereka perlu cop pasport lebih tujuh kali sebelum sampai ke destinasi," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2015 semalam berkata kerajaan akan mula membina lebuh raya Pan Borneo sepanjang 1,663km melibatkan jajaran Sarawak sepanjang 936km dan Sabah 727km dengan kos pembinaan RM27 bilion.

Sejumlah RM262 juta juga dicadangkan dalam bajet itu bagi membiayai kos pengangkutan dan penguatkuasaan kawalan harga barangan keperluan terutama di Sabah dan Sarawak, selain RM70 juta untuk subsidi padi bukit bagi memperkukuh rangkaian bekalan makanan di dua buah negeri itu.

Nancy berkata beliau turut menyambut baik peruntukan RM26 juta disediakan untuk mendirikan tambahan 10 batang tiang lampu di 22,000 kampung di seluruh negara, kerana Sabah dan Sarawak mempunyai banyak kampung luar bandar yang tidak mempunyai tiang lampu dan bekalan elektrik.

Beliau berharap kerajaan melalui Kementerian Luar Bandar dapat mempercepatkan penyambungan bekalan elektrik tersebut kerana ia akan memberikan keselesaan kepada penduduk.

"Kalau ada tiang elektrik yang dibina dan tiada bekalan elektrik yang disambungkan ke rumah, itu tidak membantu, jadi saya berharap Kementerian Luar Bandar dapat memberi perhatian supaya tidak menimbulkan kekecewaan kepada rakyat dalam hal ini," katanya,

Mengulas peruntukan RM70 juta untuk subsidi padi bukit, Nancy berkata langkah kerajaan persekutuan itu tepat pada masanya kerana ia dapat membantu menggalakkan penglibatan golongan muda dalam industri penanaman padi yang banyak terdapat di Sabah dan Sarawak. - Bernama
#Bajet2015 : Bukti Kerajaan Persekutuan Tidak Meminggirkan Sabah Dan Sarawak #Bajet2015 : Bukti Kerajaan Persekutuan Tidak Meminggirkan Sabah Dan Sarawak Reviewed by Salfian Nawawi on October 12, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.