Perlaksanaan deregulasi tambang bas sekolah yang akan berkuatkuasa pada hari pertama persekolahan bagi tahun 2015 seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) baru-baru ini memerlukan penelitian terperinci sebelum ianya boleh dilaksanakan di Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hajah Nancy Shukri berkata sebelum mengimplimentasikan regulasi tambang bas di Sarawak, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak terlebih dahulu harus mengkaji keberkesanan kaedah tersebut mengikut kesesuaian persekitaran di Sarawak.
Walaupun segelintir pengusaha bas sekolah di Sarawak dilapor menyuarakan hasrat agar langkah yang sama turut dilaksanakan di negeri itu, Nancy berkata pelaksanaan kaedah tersebut bagaimanapun memerlukan penelitian terperinci sebelum boleh dilaksanakan di Sarawak.
"Ini kerana ia perlu mengambilkira pelbagai faktor persekitaran yang berbeza antara Semenanjung dan Sarawak seperti jumlah pengusaha bas, jumlah pelajar sekolah serta jarak perjalanan yang diliputi oleh pengendali syarikat bas di Sarawak."
Menurutnya lagi, LPKP Sarawak sedang membuat kajian terperinci berhubung keberkesanan dan kesesuaian terhadap pelaksanaan pendekatan itu di Sarawak.
"LPKP Sarawak juga akan turut mengambilkira maklumbalas dan reaksi daripada pihak-pihak berkepentingan terhadap pelaksanaannya apabila ia dikuatkuasakan di Semenanjung kelak."
"Sekiranya ia adalah baik dan sesuai serta boleh dilaksanakan di negeri itu, maka penguatkuasaannya akan dipertimbangkan," tambahnya lagi.
Jelas Nancy, pelaksanaan deregulasi tambang bas sekolah ini bukan bermakna tambang bas sekolah akan dinaikkan tetapi ia sebenarnya memberi ruang kepada ibu bapa untuk mempunyai kuasa membuat penawaran dan menentukan kadar tambang mengikut jenis serta kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh setiap pengendali bas sekolah.
Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata beberapa pihak telah menyuarakan kebimbangan mengenai impak pengurangan subsidi bahan api diesel kepada pengusaha bas di Sarawak.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong dalam reaksinya berkata Jawatankuasa Subsidi Diesel LPKP Sarawak telah mengkaji dan mempertimbangkan cadangan pengusaha bas di negeri itu untuk dikemukakan kepada Kerajaan bagi membantu meringankan golongan terbabit.
Pada masa yang sama, beliau meminta agar semua pihak bertenang dan menunggu Pembentangan Bajet 2015 oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini, bagi menilai impak perancangan belanjawan terhadap industri tersebut. - Sarawakiana
Deregulasi Tambang Bas Sekolah Di Sarawak Harus Diteliti Sebelum Dilaksanakan
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 08, 2014
Rating:
No comments: