Seo Services

PAS Gantung Keanggotaan Saari Dan Hasnul


KUALA LUMPUR: PAS memutuskan menggantung keahlian dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari parti itu kerana menyokong presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.

ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin digantung selama setahun berkuat kuasa pada Ahad.

Bagaimanapun, kedua-dua ADUN tersebut diberi tempoh 15 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di ibu pejabat PAS di sini pada Ahad.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata penggantungan itu dibuat setelah mendapati kedua-dua wakil rakyat itu mengkhianati keputusan Majlis Ulama PAS mengenai pendirian menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar.

"Kedua-dua ADUN itu masih lagi ahli parti dan mereka bukanlah dipecat malah masih menjadi ADUN kita," katanya ketika dihubungi Bernama.

Saari dan Hasnul sebelum itu telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Wan Azizah sebagai menteri besar ketika Selangor dilanda kemelut jawatan tersebut.

Kedua-dua ADUN itu kemudiannya dipanggil oleh Jawatankuasa PAS Pusat bagi memberi penjelasan berhubung tindakan mereka menyokong pencalonan Wan Azizah dan membuat kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti.

Sementara itu, kedua-dua ADUN berkenaan, ketika dihubungi Bernama, berkata mereka belum lagi dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan itu sama ada melalui surat, sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya.

Mereka berkata mereka akan menunggu surat rasmi daripada parti sebelum membuat sebarang kenyataan media. - Bernama
PAS Gantung Keanggotaan Saari Dan Hasnul PAS Gantung Keanggotaan Saari Dan Hasnul Reviewed by Salfian Nawawi on October 12, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.