SHAH ALAM: Sebuah van berisi wang tunai RM2 juta dilarikan sekumpulan perompak selepas empat pengawal keselamatan yang selesai melakukan kutipan wang berhenti untuk makan malam.
Insiden kira-kira pukul 9 malam Isnin itu dilaporkan oleh pengawal keselamatan terbabit kepada polis.
Bagaimanapun, polis ragu-ragu dengan kenyataan yang diberikan oleh kesemua pengawal keselamatan terbabit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Che Mat berkata, terdapat ketidaktetapan di dalam laporan yang diberikan oleh pengawal keselamatan terbabit dan pemandunya.
Polis percaya kesemua pengawal keselamatan tersebut mungkin terlibat dalam insiden itu.
Abdul Samah berkata, keempat-empat pengawal keselamatan itu berkata mereka baharu sahaja selesai mengutip wang dari beberapa lokasi di Seri Kembangan sebelum berhenti makan di sebuah restoran dekat Jalan Lestari Perdana 7.
Tiga pengawal tersebut dilaporkan meninggalkan pump gun mereka di dalam van bersama pemandunya untuk makan malam.
"Apabila mereka kembali 15 minit kemudian, mereka mendakwa van tersebut hilang. Mereka kemudiannya menjumpai van tersebut dengan pemandu ditemui dalam keadaan tangannya diikat," kata Abdul Samah.
Pemandu tersebut memberitahu polis bahawa dua lelaki dengan sepucuk pistol menyerangnya di dalam van sebelum mengikat dan melarikan van berkenaan.
Mereka meninggalkan van tersebut selepas melarikan wang dari belakang kenderaan berkenaan.
Abdul Samah berkata 'perompak' tersebut tidak melarikan bersama pump gun yang ditinggalkan di dalam van berkenaan.
Pemandu van itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Prosedur operasi standard tidak membenarkan mereka untuk berhenti ketika sedang bertugas. Mereka membawa sejumlah wang yang banyak, mengapa mereka berhenti untuk makan?
"Ia bertentangan dengan latihan dan SOP mereka," katanya. - mStar
Polis Curiga Dengan "Rompakan RM2 Juta"
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 29, 2014
Rating:
No comments: