Seo Services

Tokoh Islam Liberal Indonesia Dilarang Masuk


KUCHING: Tokoh Islam liberal Indonesia, Ulil Abshar-Abdalla, dilarang memasuki negara ini kerana dikhuatiri kehadirannya mampu memesongkan akidah umat Islam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Imigresen untuk memantau seterusnya menghalang kehadiran Ulil yang dijadualkan mengadakan ceramah di negara ini pada 15 Oktober ini.

Beliau berkata, Ulil mendapat jemputan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini dan ia menimbulkan keresahan beberapa pihak yang bimbang ceramah tokoh liberal terbabit akan mewujudkan suasana tidak tenteram dalam negara.

"Polis sudah menerima beberapa laporan daripada pihak yang bimbangkan kehadiran Ulil, seorang pengamal Islam liberal. Kita mengambil tindakan tegas menghalang kehadirannya di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penutupan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) serta pelancaran buku 'A Policeman' tulisan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga mendapatkan kerjasama Indonesia untuk mengetahui setiap perkembangan aktiviti tokoh Islam liberal itu.

"Larangan kemasukan Ulil itu berkuatkuasa serta merta dan tiada tempoh tertentu diberikan kerana kita menunggu laporan pihak Indonesia mengenai kegiatan dia," katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid berkata polis dan Jabatan Imigresen diarah mengetatkan kawalan di semua pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan pengikut Abu Bakar Bashir, yang dijangka dibebaskan mulai tahun depan.

Beliau berkata, seramai 350 pengikut pemimpin Jemaah Islamiah itu di Indonesia akan dibebaskan tahun depan dan mereka dikhuatiri menyusup ke negara ini dan mengembangkan fahaman militan.

"Mereka kini dalam tahanan di Indonesia dan akan dibebaskan tahun depan. Tiada rakyat Malaysia kalangan mereka, tetapi kita bimbang, mereka akan menyusup ke negara kita dan langkah tegas diambil untuk kita menghalang mereka masuk," katanya.-BH
Tokoh Islam Liberal Indonesia Dilarang Masuk Tokoh Islam Liberal Indonesia Dilarang Masuk Reviewed by Unknown on October 12, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.