JIANLI: Perdana Menteri China, Li Keqiang menggesa agar usaha sepenuhnya dilakukan untuk menyalamatkan mangsa kapal karam di Sungai Yangtze.
Menurut laporan portal berita, Xinhua.com, seramai 14 orang berjaya diselamatkan manakala tujuh lagi disahkan terkorban dan kira-kira 430 penumpang yang lain masih belum ditemui dalam bencana perkapalan terburuk selama hampir tujuh dekad di negara berkenaan.
Kapten kapal dan ketua jurutera menjelaskan terdapat lebih 450 orang di atas kapal The Eastern Star apabila ia tenggelam dalam tempoh satu atau dua minit selepas dilanda puting beliung di Jianli, Hubei Province.
Lebih daripada 4,600 penyelamat termasuk ratusan penyelam mengharungi cuaca buruk pada Selasa untuk mencari penumpang yang hilang yang kebanyakkannya merupakan pelancong warga emas.
Li menegaskan, operasi menyelamatkan mangsa perlu menjadi keutamaan sewaktu mempengerusikan mesyuarat mengenai misi kecemasan dan menyelamat yang dalam perjalanan ke tempat kejadian melalui udara pada pagi Selasa.
Dia juga mengarahkan pasukan penyelamat untuk menggunakan kesemua sumber yang ada, mengambil setiap langkah dan melawan masa bagi misi mencari dan menyelamat.
Li juga telah meminta agar aliran air dari Three Gorges Dam yang beroperasi di bahagian atas Sungai Yantze itu dikawal untuk membantu kerja-kerja menyelamat.
Pasukan penyelamat juga diarahkan untuk memberikan informasi yang teratur dan memastikan pembiayaan dan kakitangan yang mencukupi untuk menjalankan kerja menyelamat.
Kapal The Eastern Star membawa 405 penumpang, lima pemandu pelancong, dan 46 anak kapal ketika mengharungi puting beliung sebelum tenggelam di bahagian Jianli, Sungai Yangtze.
Kebanyakan penumpang terdiri daripada pelancong dari Shanghai dan wilayah jiran Jiangsu, yang berumur di antara 3 hingga 83 dan kebanyakkan daripada mereka berada di dalam lingkungan 60 hingga 70-an.
Kapal tersebut itu berlayar dari bandar timur Nanjing menghala ke hulu sungai Chongqing pada Khamis.
Li sekali lagi menegaskan bahawa tidak ada yang lebih berharga daripada nyawa manusia dan menggesa pasukan penyelamat supaya tidak membazirkan masa dan menyelamatkan seramai mana yang mereka mampu.
Perdana Menteri itu menuntut agar lebih banyak penyelam di bawa ke sungai itu selepas menyaksikan dua penyelam Tentera Laut menarik mangsa yang masih hidup keluar dari kapal tersebut pada Selasa.
Pihak berkuasa juga diarahkan untuk melebarkan jalan di tepi sungai supaya jentera penyelamat dapat di bawa lebih dekat dengan perkarangan sungai.
Li juga berkata, pihak kerajaan perlu bersedia menghadapi kesan akibat kemalangan perkapalan ini.
Li melawat beberapa mangsa di sebuah hospital tempatan, termasuk Zhu Hongmei berusia 65 tahun yang telah diselamatkan oleh seorang penyelam serta Jiang Geng yang berusia 35 tahun yang terapung di sungai itu selama empat jam sebelum diselamatkan.-mStar
PM China Arah Segala Usaha Selamatkan Mangsa Kapal Karam
Reviewed by Unknown
on
June 04, 2015
Rating:
No comments: