Seo Services

4,500 Kes Remaja Hamil Anak Luar Nikah Setahun


KUALA LUMPUR – Secara purata, kira-kira 4,500 remaja hamil tetapi belum berkahwin mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan kerajaan setiap tahun.

Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan, To’ Puan Dr. Safurah Jaafar berkata, remaja terbabit sebahagian daripada kira-kira 18,000 remaja hamil yang mendapatkan rawatan di klinik kerajaan dalam tempoh sama.

“Terdapat purata 18,000 remaja hamil yang mendapat perkhidmatan di klinik kesihatan kerajaan setahun, di mana 1/4 (25 peratus) tidak berkahwin. Secara purata terdapat 1,500 kes remaja hamil sebulan dan 50 kes sehari di seluruh negara.

“Kes kematian remaja hamil turut membimbangkan di mana kadar kematian remaja hamil yang berumur 15 hingga 19 tahun telah meningkat daripada 18.5 per 100,000 kelahiran hidup pada tahun 2007 kepada 38.2 per 100,000 kelahiran hidup pada tahun 2012. Kadar kematian remaja hamil pada tahun 2012 ini adalah lebih tinggi berbanding kadar kematian semua ibu ( 25.6/100,000 kelahiran hidup),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Safurah turut mendedahkan kajian Kementerian Kesihatan ke atas pelajar sekolah berumur 13 hingga 17 tahun mendapati peratus remaja yang pernah melakukan hubungan seks telah meningkat kepada 8.3 peratus.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan akan mengadakan Program Generasiku Sayang (GKS) Peringkat Kebangsaan pada 29 Oktober ini di Dewan Serbaguna Aras 8, Blok E7, Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Menurut beliau, Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah selaku penaung Program GKS berkenan hadir untuk melancarkan program tersebut.

“Program ini secara tidak langsung akan mengurangkan masalah yang dihadapi oleh wanita dan remaja hamil yang amat memerlukan bantuan dan perlindungan.

“Pada masa sama, bilangan kes kehamilan dan kematian ibu remaja hamil juga dapat dikurangkan di samping meningkatkan semangat, motivasi dan jati diri remaja ini sebagai persediaan mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
4,500 Kes Remaja Hamil Anak Luar Nikah Setahun 4,500 Kes Remaja Hamil Anak Luar Nikah Setahun Reviewed by Unknown on October 27, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.