BAGAN DATOH - “Saya ingin bertanya apakah wujud insan bernama Mohd Najib Tun Abdul Razak di mana-mana negara yang sedang dilanda musibah ekonomi dan politik sekarang ini?”.
Itu antara persoalan diutarakan Pengerusi Kelab Veteren Umno Malaysia, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali kepada orang ramai ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Veteren Umno Bahagian Bagan Datoh, petang kelmarin.
Menurutnya, isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi perhatian disebabkan terdapat golongan yang gemar memanaskannya kerana mempunyai agenda tersurat dan tersirat.
“Saya bukanlah pandai mengupas isu ini secara profesional atau intelektual tetapi terpanggil untuk melontarkan sedikit pandangan kilas dalam bentuk persoalan.
“Pertama, kenapa isu membabitkan 1MDB bagaikan dijadikan kolateral terhadap hidup atau mati politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan keduanya bolehkah kecelaruan polemik yang menyelesaikan masalah 1MDB yang dikatakan menjadi punca masalah kelembapan ekonomi Malaysia?,” soalnya.
Tajol turut mempersoalkan apakah terdapat syarikat bernama 1MDB di negara-negara yang sedang dilanda masalah ekonomi sekarang ini, seperti keruntuhan ekonomi di Greece, kelembapan pertumbuhan di China dan kejatuhan nilai wang di 68 negara lain.
“Natijahnya, kalau pun timbul kebencian atas apa jua sebab terhadap pemimpin negara, tindakan yang lebih beradab dan rasional serta demokratik untuk menyingkirkan mana-mana pemimpin adalah melalui peti undi pilihan raya.
“Kerakusan bertindak selalunya berakhir dengan tersasul arah yang kelak menggamit padah,” katanya.
Beliau memberitahu, sama ada ahli Veteren Umno mahu menerima hakikat atau pun tidak, parti tersebut sedang dilanda krisis dan punca kepada krisis tersebut tidak sukar untuk diteka.
“Kalau terdapat kalangan Veteren Umno yang pernah berperanan sebagai bad boy atau ‘orang suruhan’ di masa silam, mungkin mereka masih ada kuku untuk mematahkan serangan musuh.
“Pernyataan ini membawa maksud bahawa Veteren Umno sentiasa bersedia diajak sebaris dalam usaha mempertahankan parti ini,” katanya.
Tajol turut menegaskan bahawa sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk ahli Umno berbalah dan menimbul masalah hingga membangkit resah di mana akhirnya akan menggamit musibah.
“Dalam suasana sedemikian, mungkin masih terbuka ruang dan peluang untuk Veteren Umno memainkan peranan sebagai ‘orang tua’ dalam keluarga yang sedang bergelora.
“Sesungguhnya peranan ini bukannya mudah kerana kalau tersalah langkah boleh mengundang padah dibenci dan dipinggirkan,” katanya.- SH
1MDB jadi isu kerana dipanaskan
Reviewed by Admin
on
November 16, 2015
Rating:
No comments: