Seo Services

Amaran Keras Terhadap Geng Kutip Wang Perlindungan


KUCHING: Polis memberi amaran tegas terhadap kumpulan yang dikatakan sering meminta wang perlindungan daripada pihak pemaju khususnya di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.

Demikian menurut Ketua Polis Daerah ACP Roslan Bek Ahmad yang mengulas mengenai aduan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr Abdul Rahman Junaidi berkenaan kegiatan itu.

Menurut Roslan, pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut dan memohon kerjasama daripada masyarakat serta pihak pemaju untuk menyalurkan maklumat bagi memudahkan tindakan diambil terhadap kumpulan terbabit.

“Kita akan mengambil tindakan sekiranya dakwaan tersebut benar dan disebabkan itu, kita mohon agar masyarakat serta pemaju dapat memberi kerjasama kepada pihak polis.

“Polis sukar bertindak sekiranya tiada laporan dibuat, dan untuk masa terdekat ini, kita akan berjumpa dengan pihak pemaju untuk mendapatkan maklumat serta membincangkan tindakan seterusnya,” kata Roslan.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri sesi dialog bersama Dr Rahman serta pemimpin masyarakat kawasan DUN Pantai Damai di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Rahman dalam ucapannya mendedahkan kegiatan mengutip wang perlindungan tersebut berada di tahap membimbangkan dan dikhuatiri akan mengganggu proses pembangunan di kawasan berkenaan.

“Banyak projek pembangunan yang sedang dijalankan di kawasan Pantai Damai, seperti pembinaan jambatan, baik pulih jalan dan kita khuatir kegiatan (mengutip wang perlindungan) ini akan mengganggu pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Selain itu, Dr Abdul Rahman juga mendedahkan kegiatan pengedaran pil psikotropik juga dilihat membimbangkan di kawasan berkenaan.

“Pengedaran pil terlarang ini semakin berleluasa dan tidak seperti sebelum ini, di mana kini mereka lebih berani mengedarkannya secara terbuka tanpa rasa takut terhadap pihak berkuasa.

“Malah, penduduk kampung pula yang takut melaporkannya kepada pihak polis kerana pernah dikatakan pihak (pengedar) ini bertindak balas terhadap penduduk kampung apabila ditegur,” kata Dr Rahman.

Justeru, Roslan yang menjawab isu itu memberitahu pihaknya akan menyiasat perkara tersebut sekali gus mengambil tindakan sebaik sahaja maklumat diperolehi.

“Untuk kes ini, kita mohon agar masyarakat dapat terus berhubung dengan kita dan sebaik maklumat diperolehi, kita akan lancarkan operasi untuk ‘membersihkan’ kawasan ini,” tegas Roslan.-UB
Amaran Keras Terhadap Geng Kutip Wang Perlindungan Amaran Keras Terhadap Geng Kutip Wang Perlindungan Reviewed by Unknown on November 20, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.