JUBA: Bayi 13 bulan menjadi mangsa tunggal yang terselamat dalam nahas pesawat kargo di tebing Sungai Nil Putih di Selatan Sudan.
Bayi perempuan itu ditemui ketika pasukan keselamatan berusaha mencari kotak hitam dan baki mangsa kemalangan di lokasi kejadian.
Bayi yang dikenali sebagai Nyloak Tong itu kini menerima rawatan di sebuah hospital di sini.
Laman web Daily Express melaporkan, bayi itu adalah salah seorang daripada dua penumpang yang terselamat, sebelum seorang penumpang terbabit meninggal dunia akibat kecederaan teruk.
Sumber memberitahu, bayi ajaib itu menaiki pesawat berkenaan bersama ibu dan empat abangnya.
"Semua ahli keluarga itu maut dalam kejadian itu,” kata sumber berkenaan.
Jurucakap Presiden Sudan Selatan, Ateny Wek Ateny berkata, pesawat jenis Antonov itu didaftarkan di Tajikistan dan dimiliki syarikat Allied Services Limited.
“Nahas itu turut mengorbankan lima anak kapal warga Armenia dan seorang warga Rusia. Pesawat itu turut membawa 12 orang penumpang yang kesemuanya rakyat tempatan,” jelas Ateny, sambil menambah kata, 10 orang penduduk yang tinggal berhampiran kawasan nahas turut maut dalam kejadian tersebut.
Stesen televisyen Rusia LifeNews mendedahkan maklumat daripada sumber yang enggan dikenali bahawa pesawat Kesatuan Soviet yang dibina pada 1971 itu kelihatan seperti membawa lebihan muatan.
“Kebiasaannya pesawat hanya membawa 12 orang penumpang, masalah berlaku apabila berlaku penambahan penumpang. Pesawat tersebut dibina untuk muatan kargo dan bukannya untuk menampung manusia,” kata Pembantu Pengurus Operasi Combined Air Services, Kenyi Galla. -mStar
Bayi 13 Bulan Mangsa Tunggal Terselamat Nahas Pesawat Kargo
Reviewed by Unknown
on
November 06, 2015
Rating:
No comments: