KUCHING: Dua lelaki yang disyaki merogol seorang pembantu guru taska dalam kejadian pecah masuk di Taman Monah, Petra Jaya di sini, berjaya dikesan dan ditangkap dalam tempoh 48 jam.
Tangkapan itu dibuat semalam oleh pasukan Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang bertindak atas maklumat dan hasil intipan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar, suspek berusia 20 tahun ditahan di Petra Jaya kira-kira jam 11.30 pagi manakala suspek kedua ditahan sekitar jam 3.45 petang di Santubong pada hari yang sama.
“Kes dianggap selesai dengan penangkapan dua suspek utama dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dev memberitahu, suspek pertama berusia 20 tahun yang pernah ditangkap berulang kali atas kesalahan pecah rumah dan curi, telah mengaku merompak dan merogol mangsa.
Turut difahamkan, seorang lagi lelaki berusia 47 tahun turut ditangkap bersama suspek pertama di Petra Jaya bagi membantu siasatan.
Gerakan mengesan barang-barang curi masih dijalankan, katanya.
“Pasukan D9 bekerja keras untuk menyelesaikan kes ini dan saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ASP Lawrence serta pasukannya kerana dapat mengenal pasti dan seterusnya menangkap kedua-dua suspek utama dalam tempoh dua hari,” katanya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter turut mengucapkan tahniah kepada polis Sarawak atas kejayaan menyelesaikan kes berkenaan.
Pada 6 November lalu kira-kira jam 1 pagi, mangsa yang berusia 19 tahun sedang nyenyak tidur di sebuah bilik di taska berkenaan apabila dua lelaki memecah masuk ke dalam premis berkenaan.
Mangsa yang menyedari kehadiran dua lelaki itu di dalam biliknya menjerit sebelum salah seorang suspek mengacukan pisau dan mengarahkannya menyerahkan barang-barang miliknya.
Suspek-suspek mengambil telefon bimbit, rantai emas, sejumlah wang, pemain CD dan sebuah televisyen sebelum mengambil giliran untuk merogol mangsa.
Insiden itu disedari apabila rakan mangsa tiba di tempat kejadian pada jam 6.30 pagi.
Kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.-UB
Dua Saspek Rompak Dan Rogol Pembantu Taska Berjaya Diberkas
Reviewed by Unknown
on
November 09, 2015
Rating:
No comments: