Seo Services

Elektrik Murah Tarik Pelabur Ke Taman Perindustrian Samalaju


BINTULU - Pakej kompetitif, terutamanya dengan kadar elektrik yang lebih murah, merupakan faktor penarik yang menarik pelabur utama ke Taman Perindustrian Samalaju (SIP) yang terletak kira-kir 62 kilometer dari Daerah Perniagaan Pusat Bintulu.

Para pelabur ini yakin dengan sumber tenaga boleh diperbaharui mencukupi yang diperoleh daripada stesen jana kuasa elektrik hidro Bakun dan Murum.

SIP yang terletak di tapak seluas 8,000 hektar (saiz bandar raya Manhattan) dijangka menerima lebih ramai pelabur, terutamanya pelabur utama asing, untuk merealisasikan hasratnya menjadi satu daripada taman perindustrian paling berteknologi tinggi di Asia Tenggara.

SIP, yang dihubungkan menerusi jalan pesisir pantai Bintulu-Miri dan Lebuh Raya Pan Borneo, ditubuhkan untuk memindahkan industri berat dan berintensifkan tenaga jauh dari bandar Bintulu.

Ia juga berdekatan dengan Pelabuhan Laut Dalam Samalaju, dan bakal mempunyai taman eko, perbandaran baharu, projek perumahan dan kemudahan lain.

Lima syarikat telahpun bertapak di sana -- Tokuyama Corp dari Jepun, Press Metal Bhd dari Malaysia, OM Materials Ltd (OMH) dari Singapura, Permata Ferroalloys dari Hong Kong dan Sakura Ferroalloys dari Afrika Selatan/Jepun.

Tokuyama terlibat dalam pengeluaran silikon polihabluran, Press Metal (jongkong aluminium dan bilet), Permata Ferroalloys (silikon mangan), Om Materials (ferro mangan) dan Sakura Feroalloys (ferro silikon mangan).

Penasihat hal ehwal awam Permata Ferroallys, Andrew Talling berkata sebelum memutuskan untuk melabur dalam SIP mereka sebenarnya telah pergi ke beberapa negara lain tetapi akhirnya memilih SIP kerana kos kuasa yang murah.

"Di sini, di Samalaju kami boleh mengharapkan bekalan kuasa yang mencukupi dan kami juga boleh mengetahui kos masa hadapan kami," katanya kepada pemberita semasa kunjungan media ke SIP semalam.

Beliau berkata faktor-faktor lain ialah lokasi strategik taman perindustrian itu serta kemudahan yang tersedia termasuk Pelabuhan Laut Dalam Samalaju yang dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

"Elemen-elemen ini digabungkan dengan pakej menarik dan hubungan yang mudah ke pihak berkuasa relevan meyakinkan kami untuk datang ke sini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Press Metal Group Datuk Paul PK Koon berkata syarikat tersebut memutuskan untuk membina kilang keduanya di SIP disebabkan oleh ketersediaan sumber tempatan dan tenaga boleh diperbaharui.

"Dengan sokongan baik kerajaan dan agensi relevan, operasi syarikat kami di SIP berkembang dengan pantas sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Lokasi taman itu yang berdekatan dengan Bintulu menjadikannya mudah untuk mengeksport ke negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Asia Tenggara, katanya sambil menambah syarikat itu telah bertapak di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) sejak 2008 dengan kilang pertamanya di Mukah, dan telah melabur lebih RM5 bilion.

Naib Presiden Tokuyama Malaysia, Haruyoshi Honda berkata selain lokasi strategik dan kadar tenaga kompetitif, syarikat itu juga menerima sokongan baik daripada kerajaan negeri.

Manakala Pengarah Om Materials (Sarawak) Edward Young berkata sebelum memutuskan untuk berpindah ke SIP, syarikat itu pergi ke Indonesia tetapi mendapati prasarana di sana kurang memuaskan.

-- BERNAMA
Elektrik Murah Tarik Pelabur Ke Taman Perindustrian Samalaju Elektrik Murah Tarik Pelabur Ke Taman Perindustrian Samalaju Reviewed by Unknown on November 17, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.